SHAH ALAM, 3 Mac (Bernama) -- Yayasan Selangor mengumumkan pelantikan Raja Nazirin Shah Raja Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Yayasan Selangor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Raja Nazirin Shah selaras dengan pengalaman luas beliau dalam bidang hartanah dan korporat negara.
Raja Nazirin Shah berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Management & Science University (MSU), bidang Pengurusan Harta dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Pengajian Pengurusan dan Pentadbiran dari Universiti Kagawa, Jepun.
“Beliau menyertai MRCB Sentral Properties Sdn Bhd lebih 10 tahun sejak Disember 2000 dengan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan yang bertanggungjawab merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan bagi jualan, pemasaran serta pengurusan aset di KL Sentral Sdn Bhd, iaitu sebuah projek pembangunan bersepadu di bawah anak syarikat MRCB Berhad,” menurut kenyataan itu.
Yayasan Selangor memaklumkan selepas menyertai MRCB Sentral Properties, Raja Nazirin Shah kemudian berkhidmat lebih enam tahun dalam bidang operasi dan korporat, serta berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif di PNB Commercial Sdn Bhd.
“Beliau telah ditugaskan merencana projek berprofil tinggi dalam membangunkan strategi Blueprint Asset Enhancement Initiative (AEI) bagi tujuan meningkatkan nilaian aset dan hartanah.
“Selain itu, beliau telah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden dan Ketua Komersial di PNB Merdeka Venture lebih setahun,” menurut Yayasan Selangor.
Kenyataan itu memaklumkan Raja Nazirin Shah turut berpengalaman sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif di AmFirst Real Estate Investment selama empat tahun serta bertanggungjawab dalam pengurusan operasi dan komunikasi strategik.
Pada 2022 hingga 2024, beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Damansara Reit Managers Sdn Bhd.
“Dengan pengalaman luas lebih 20 tahun di kedua-dua sektor hartanah dan korporat, kudrat Raja Nazirin Shah diperlukan bagi menerajui usaha dan komitmen dalam memperkukuh penjenamaan Yayasan Selangor sebagai sebuah syarikat yang menjana pendapatan sendiri menerusi pembangunan aset serta hartanah.
“Ia sekali gus mampu mencorak impak positif dalam meningkatkan dana syarikat untuk disalurkan bagi memberdaya program-program pendidikan negeri dalam usaha melahirkan modal insan yang berjaya,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial