EKONOMI

Kerjasama Dengan Arm Holdings Impak Positif Kepada Rantaian Nilai Semikonduktor Malaysia

05/03/2025 08:47 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerjasama strategik Malaysia dengan Arm Holdings Plc yang beribu pejabat di United Kingdom akan memajukan rantaian nilai semikonduktor domestik ke arah reka bentuk litar bersepadu (IC), kata Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai.

Menurutnya kerjasama penting ini akan turut menyumbang kepada hasrat Malaysia untuk muncul sebagai pusat reka bentuk IC.

Kerjasama ini akan membantu syarikat semikonduktor Malaysia beralih daripada ujian dan pemasangan atau operasi ‘back-end’  kepada aktiviti lanjutan ‘front-end’ atau proses awal seperti reka bentuk IC, dan seterusnya meningkatkan eksport cip buatan tempatan negara ini.

“Untuk mereka bentuk IC, kita perlu mengakses harta intelek (IP) dan teknologi teras yang diperlukan untuk reka bentuk IC. Arm akan menyediakan sumber-sumber ini, dan kami berharap penglibatan mereka akan menyokong proses ini,” kata Wong dalam temu bual bersama Bernama hari ini.

Arm yang dimiliki oleh SoftBank Group adalah penyedia teknologi utama bagi IP pemproses manakala Malaysia adalah pengeksport semikonduktor terbesar keenam di dunia.

Bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat reka bentuk IC, Wong menekankan bahawa Malaysia perlu menangani jurang bakat untuk memajukan reka bentuk IC memandangkan kebanyakan syarikat multinasional telah mempunyai kemampuan yang diperlukan.

Bagaimanapun, syarikat tempatan perlu membangunkan kepakaran yang sama untuk merapatkan jurang sedia ada.

Menerusi kerjasama ini, Wong berharap Arm dapat membantu Malaysia menangani jurang ini dan menyediakan kelompok jurutera reka bentuk IC, yang membolehkan syarikat tempatan mereka bentuk produk mereka sendiri.

Wong berkata pada masa ini, Malaysia mempunyai lima atau enam syarikat yang berupaya mereka bentuk produk IC, dengan kira-kira 30 syarikat lain menyediakan perkhidmatan reka bentuk.

Beliau berkata sinergi antara Malaysia dan Arm akan menyokong matlamat negara untuk mewujudkan sehingga 10 firma reka bentuk IC tempatan dan membangunkan kepakaran, selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Malaysia hari ini mengumumkan pelaburan sebanyak US$250 juta (US$1 = RM4.44) dalam tempoh sedekad akan datang dalam Arm untuk melahirkan ekosistem baharu dalam industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor serta membantu industri ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai.

Inisiatif ini akan membuka peluang kepada cip buatan tempatan pertama di Malaysia di samping turut menawarkan penggiat tempatan akses kepada rangkaian IP semikonduktor dan reka bentuk perisian Arm, berserta pemindahan teknologi dan pengetahuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan majlis memeterai Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor antara Malaysia dan Arm.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan