KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Keputusan Arm Ltd untuk memilih Malaysia sebagai rakan kongsi Asia Tenggara pertamanya telah menetapkan objektif jelas yang akan membantu meningkatkan sektor semikonduktor negara.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata dalam satu kenyataan bahawa perkongsian peringkat negara yang pertama kali dilakukan itu akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam inovasi semikonduktor global.
Seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dilancarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perkongsian strategik empat tahun itu akan merevolusikan ekosistem semikonduktor Malaysia melalui tiga inisiatif utama.
“Pertama, ia akan mewujudkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), mewujudkan barisan bakat (pekerja berkemahiran) yang mantap untuk industri.
“Kedua, ia akan menyediakan syarikat Malaysia terpilih dengan akses istimewa kepada teknologi canggih dan portfolio protokol internet (IP) Arm.
“Ketiga, ia akan memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan, memajukan matlamat negara untuk menghasilkan cip lebih maju di Malaysia,” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pemeteraian perjanjian itu dan semua pelaburan berteknologi tinggi lain termasuk sebanyak RM55.8 bilion pelaburan dalam elektrik dan elektronik (E&E) diluluskan untuk 2024 adalah testimoni jelas kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dalam membantu memeterai perjanjian dengan syarikat global terkemuka yang menghargai cadangan nilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Semua pelaburan ini akan melengkapkan Malaysia dengan keupayaan reka bentuk semikonduktor disasarkan diperlukan ekonomi kita untuk menjana eksport bernilai lebih tinggi dan menggerakkan pemain industri kita ke atas rantaian bekalan global.
“Perjanjian MIDA-Arm akan membuka jalan kepada negara kita untuk menghasilkan cip buatan Malaysia yang memenuhi piawaian global, pada masa sama mewujudkan lebih banyak peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerjaan bernilai lebih tinggi untuk rakyat kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata: “Perkongsian ini menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi yang mampan, menarik peneraju semikonduktor global sekali gus membangunkan kumpulan bakat tempatan Malaysia.”
"Kami sedang mewujudkan laluan untuk syarikat tempatan berkembang daripada pembuatan ‘backend’ beralih kepada reka bentuk cip bernilai tinggi. Masanya adalah sangat sesuai seriring dengan minat pelabur asing yang semakin meningkat dalam aktiviti reka bentuk Malaysia."
Kerjasama ini adalah susulan prestasi pelaburan Malaysia yang luar biasa pada 2024, menyaksikan pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, tertinggi dalam sejarah negara, pertumbuhan 14.9 peratus tahun ke tahun.
Industri E&E, tonggak kekuatan perindustrian Malaysia, menerajui lonjakan itu, menarik RM55.8 bilion pelaburan dan menyumbang 46.3 peratus daripada jumlah keseluruhan sektor pembuatan.
Ia menekankan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global, mengukuhkan daya tarikan negara sebagai hab untuk inovasi bernilai tinggi, reka bentuk semikonduktor dan pembuatan termaju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial