EKONOMI

IPO, Pengembangan Kemudahan Chemlite Kukuhkan Industri E&E Malaysia - MIDA

06/03/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) Chemlite Innovation Bhd (Chemlite) di Bursa Malaysia menandakan peristiwa penting dalam pengembangan strategiknya, menekankan komitmennya terhadap inovasi dan memperkukuh ekosistem perindustrian Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan Chemlite mengukuhkan industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia, terutamanya dalam sektor semikonduktor, sambil memajukan keupayaan teknologi negara.

"Pengembangan Chemlite merupakan satu pencapaian strategik dalam pembangunan perindustrian Malaysia. Pelaburan mereka selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan rantaian bekalan domestik kita.

"MIDA kekal komited untuk menyokong pelaburan berimpak tinggi seperti ini yang menjadi contoh kepada pembuatan bernilai tinggi yang akan memacu daya saing global Malaysia," katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

MIDA berkata sebagai sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan strategik Chemlite, syarikat itu telah memperoleh tanah industri pegangan pajakan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di dalam Taman Sains Pulau Pinang Utara.

Pemerolehan tanah itu akan memudahkan pembangunan kemudahan baharunya yang serba canggih seluas 100,000 kaki persegi, bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat.

"Pengembangan ini juga akan mengoptimumkan lagi kecekapan operasi dan memperluas portfolio perkhidmatan Chemlite, mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada industri semikonduktor dan E&E yang berkembang pesat di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chemlite Chong Yuen Fong berkata MIDA, PDC, dan InvestPenang telah memainkan peranan penting dalam menyokong pengembangan syarikat dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan bernilai tinggi.

"Usaha proaktif Kerajaan MADANI, melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA, telah mengukuhkan ekosistem perindustrian Pulau Pinang dan menarik pelaburan global, yang dijangka memberi manfaat kepada syarikat kami.

"Kemudahan baharu kami ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan