PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bekerjasama untuk mempertingkatkan pengumpulan dan analisis data dalam sektor runcit.
MRCA menjelaskan pihaknya dan DOSM membincangkan pelaksanaan kajian khusus untuk menumpukan aspek utama industri runcit seperti peruncitan fizikal, makanan dan minuman, e-dagang dan pendigitalan runcit serta pengembangan dan pembangunan francais ketika pertemuan di pejabat DOSM baru-baru ini.
Persatuan itu memaklumkan menerusi langkah memanfaatkan rangkaian lebih 500 ahli MRCA, kajian itu bertujuan menyediakan pandangan terperinci dan bersegmen mengenai dinamik industri runcit.
“Matlamatnya adalah memperkukuh perniagaan dengan data yang tepat dalam membuat keputusan yang lebih strategik dan perancangan pertumbuhan yang lebih teratur,” menurut MRCA dalam kenyataan pada Jumaat.
Timbalan Presiden MRCA Datuk Liew Bin berkata akses kepada data yang tepat dan tepat pada masanya adalah penting untuk mengharungi perubahan pasaran dengan berkesan.
Beliau berkata kerjasama dengan DOSM menandakan satu pencapaian penting dalam melengkapkan industri itu dengan gambaran yang tepat untuk pertumbuhan mampan.
“Berasaskan statistik yang terperinci, kita dapat memahami tingkah laku pengguna dengan lebih baik, mengoptimumkan rantaian bekalan, dan mencipta kerangka yang secara langsung memberi manfaat kepada peniaga dan pemilik francais,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Ketua Perangkaan DOSM Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menekankan kepentingan untuk meningkatkan Sistem Statistik Negara.
“Data yang boleh dipercayai dan spesifik adalah asas kemajuan ekonomi negara. Langkah memperkukuh kerjasama dengan MRCA bertujuan mencipta kerangka statistik yang lebih terperinci dan memperkukuh potensi dalam bidang ini serta memberi manfaat kepada peserta industri runcit,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan membantu dalam merangka dasar yang bukan sahaja meningkatkan kemampanan perniagaan tempatan malah juga menjadikan Malaysia sebagai hab yang kompetitif untuk pengembangan francais.
Satu manfaat yang dijangkakan daripada kerjasama itu adalah meningkatkan penyertaan dalam acara industri utama seperti Expo Francais Malaysia (FEM) yang akan diadakan dari 21 hingga 23 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Acara tahunan itu berperanan sebagai platform penting untuk rangkaian dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan pemimpin francais, pelabur, dan pembuat dasar.
Melangkah ke hadapan, MRCA dan DOSM akan terus memperhalusi metodologi kajian dan menyesuaikan strategi berdasarkan penemuan awal daripada kajian.
Menurut MRCA penglibatan berterusan ini selaras dengan Dasar Pembangunan Nasional (NDP) selain menggariskan komitmen bersama untuk penambahbaikan dan inovasi berterusan dalam sektor peruncitan Malaysia.
“Dengan memperhalusi metodologi pengumpulan data dan menyelaraskan usaha dengan NDP, kerjasama ini boleh memberikan manfaat jangka masa panjang termasuk penggubalan dasar yang lebih komprehensif, sokongan perniagaan yang dipertingkatkan dan ekosistem runcit yang lebih pesat membangun,” jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial