AM

PPITM Anjuran FCoEE Platform, Bangunkan Jati Diri Anak Agar Lebih Berdaya Saing

08/03/2025 11:45 AM

KANGAR, 8 Mac (Bernama) -- Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) sejak 2023 menjadi platform untuk membentuk watak dan personaliti anak-anak asnaf agar lebih berdaya saing serta memiliki jati diri yang tinggi.

Pengarah Eksekutif FCoEE Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, berkata program ini bertujuan memastikan pelajar daripada keluarga asnaf di Perlis dapat keluar daripada lingkungan penerima zakat kepada menjadi pemberi zakat pada masa hadapan.

“PPITM telah membuka ruang kepada FCoEE dan semua pihak yang terlibat untuk lebih memahami kehidupan serta cabaran yang dihadapi oleh keluarga asnaf terpilih. FCoEE merupakan jentera penggerak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menjadi pemegang taruh dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui pendidikan.

“Program ini membuktikan bahawa pendidikan dan dorongan kejayaan bukan sekadar hak tetapi juga tanggungjawab kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Teras Ukhuwah, Sumbangan Kasih PPITM 2025 di sini, petang semalam.

Seramai 43 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 42 sekolah di Perlis yang menyertai program itu menerima sumbangan kasih PPITM. Pada majlis itu turut berlangsung penyampaian Anugerah Ikon PPITM kepada dua pelajar.

Kamarudin berkata PPITM memberikan tumpuan kepada memotivasikan anak-anak asnaf supaya mereka tidak melihat kekurangan sebagai halangan tetapi sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan.

“Kita ingin menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kemiskinan bukan alasan untuk gagal tetapi satu cabaran untuk diatasi. Sebagai sebuah institusi yang berteraskan kecemerlangan pendidikan, FCoEE amat berbesar hati untuk menyemarakkan usaha ini.

“Kita percaya bahawa kejayaan tidak dicapai secara inividu, tetapi hasil sokongan kolektif daripada ibu bapa yang berkorban, guru yang mendidik dengan penuh dedikasi serta masyarakat yang prihatin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan