KUCHING, 8 Mac (Bernama) -- Isu peruntukan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diselesaikan dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata Syed Saddiq secara prinsip telah menyatakan persetujuan bagi syarat-syarat ditetapkan kerajaan.
“Secara prinsip dia (Syed Saddiq) bersetuju dengan beberapa perkara dan kita tengah perincikan di peringkat akhir dan ia akan dapat muktamadkan. Setakat ini, dia seorang sahaja (Ahli Parlimen pembangkang) yang memberi maklum balas.
“Syed Saddiq telah memaklumkan persetujuannya secara bersurat dan bersemuka… namun wakil rakyat pembangkang yang lain saya belum terima,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis agihan bubur pedas sempena acara Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara di sini hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengagihkan sejumlah 500 pek bubur pedas kepada penduduk di kawasan parlimennya, selain menyalurkan sumbangan kepada 75 asnaf dari kawasan Satok.
Sebelum ini, media melaporkan Syed Saddiq mendakwa terpaksa bersetuju untuk menjadi model sebagai usaha mendapatkan dana bagi menampung keperluan rakyat di kawasannya.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun masih belum menerima perkembangan positif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial