KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu melalui khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu sekitar 495,000 peminjam melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) sehingga Disember 2024.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan daripada jumlah peserta PPK, hampir 60,000 atau 12 peratus peminjam telah berjaya menyelesaikan pinjaman mereka dan menamatkan penyertaan dalam PPK.
Dalam pada itu, lebih 26,000 atau lima peratus peminjam telah menamatkan penyertaan dalam program ini memandangkan mereka telah berkemampuan untuk menyelesaikan hutang mereka tanpa bantuan AKPK dan hampir 253,000 peminjam atau 51 peratus masih aktif mengikuti program berkenaan.
"Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk golongan berpendapatan rendah, memandangkan ia merupakan kemahiran hidup yang penting bagi membina ketahanan kewangan untuk menjamin kesejahteraan kewangan pada masa hadapan.
"Usaha ini diterajui Jaringan Pendidikan Kewangan atau lebih dikenali sebagai Financial Education Network (FEN) untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan kewangan berhemat dan mengelakkan terjebak ke dalam perangkap hutang," kata MOF menerusi jawapan bertulis di laman portal Dewan Negara hari ini.
Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin mengetahui mengenai perancangan kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah dalam isu hutang.
Mengulas lanjut, MOF berkata sebanyak 332 program literasi kewangan telah dianjurkan oleh ahli dan rakan usaha sama FEN dengan penglibatan sebanyak 37 juta penyertaan fizikal dan atas talian, berjumlah 289 program (87 peratus) melibatkan golongan berpendapatan rendah pada tahun lepas.
"Selain itu, sebanyak lapan sesi program pendidikan kewangan untuk usahawan mikro turut dilaksanakan sepanjang Bulan Literasi Kewangan, melibatkan 357 usahawan mikro dengan peningkatan pengetahuan sebanyak 14 peratus.
"Program ini merupakan salah satu usaha untuk memperkukuhkan pendidikan kewangan untuk golongan berpendapatan rendah, dalam usaha menggalakkan perbelanjaan bertanggungjawab dan keutamaan menyimpan," kata MOF.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial