KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani memulakan kempen Kejohanan Badminton All England dengan langkah kanan selepas menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, dalam perlawanan pembukaan hari ini.
Pilihan kedua kejohanan itu hanya mengambil masa 37 minit untuk menewaskan Gi Jung-Sa Rang 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.
Kemenangan ini menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin akan bertemu pemenang satu lagi perlawanan pusingan pertama antara gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, atau pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
“Perlawanan in sengit dan berjaya melakukan beberapa pukulan bertuah. Kami hanya perlu memberikan yang terbaik,”kata Sze Fei menerusi audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam aksi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Taiwan Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun dalam pertarungan sengit selama 65 minit.
Mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 19-21, 21-15, 21-13.
Menanti Pearly-Thinaah di pusingan 16 terbaik ialah satu lagi pasangan Taiwan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun.
Bagaimanapun, dua beregu campuran negara gagal meneruskan cabaran selepas tewas di pusingan pertama. Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tunduk kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-18, 20-22, 11-21 sementara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tewas kepada wakil Denmark Jesper Toft-Amalie Magelund 16-21, 19-21.
Satu lagi beregu lelaki profesional negara Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut tersingkir selepas kalah 14-21, 12-21 kepada pasangan Korea Selatan, Kang Minhyuk-Ki Dong Ju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial