AM

LZS Sasar Kutipan Zakat Harta, Fitrah RM208 Juta Sepanjang Ramadan

12/03/2025 11:00 PM

SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah sebanyak RM208 juta sepanjang Ramadan ini.

Jumlah itu meliputi RM163 juta zakat harta dan RM45 juta zakat fitrah.

Ketua Divisyen Kutipan LZS Mohd Fikri Naim Harun berkata pihaknya optimis sasaran itu boleh dicapai mengambil kira trend peningkatan kutipan zakat setiap tahun dalam usaha memastikan keperluan golongan asnaf di Selangor terus disantuni.

“Sebagai contoh, kalau kita tengok kutipan zakat fitrah, ia meningkat saban tahun misalnya pada 2023 kita berjaya kutip RM37 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM41 juta tahun lepas.

“Dengan kadar bayaran zakat bagi kategori kedua dan ketiga yang dinaikkan kepada RM15 dan RM22 bagi Ramadan tahun ini, kita percaya serta optimis mampu mengutip lebih daripada RM208 juta yang disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) di sini hari ini.

Mohd Fikri Naim berkata bagi menggalakkan rakyat Selangor membayar kedua-dua jenis zakat, LZS melaksanakan kempen “Sentuhan Ramadan, Indahnya Berkongsi” dengan tawaran hadiah menarik termasuk hadiah utama pakej percutian ke Turkiye.

Dalam pada itu, beliau berkata LZS turut menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM205 juta tahun ini, peningkatan sebanyak RM14 juta berbanding tahun lepas.

Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 40 syarikat termasuk dua pengeluar zakat individu menyerahkan zakat perniagaan masing-masing berjumlah RM7.9 juta.

Pada majlis sama, LZS turut menyerahkan bantuan zakat berjumlah RM258,330 meliputi bantuan perubatan sebanyak RM12,330 dan bantuan baik pulih rumah serta bantuan baik pulih institusi agama masing-masing berjumlah RM86,000 dan RM160,000.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan