JENAYAH & MAHKAMAH

MCMC Siasat Individu Muat Naik Kandungan Palsu Sentuh Sensitiviti Agama

13/03/2025 01:03 PM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disiasat kerana disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang menyentuh sensitiviti agama.

Menurut kenyataan MCMC hari ini, kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya pada 9 Mac lepas, yang mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan.

MCMC turut memaklumkan sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping semalam, dan sebuah telefon bimbit dan satu sim kad turut disita bagi tujuan analisis forensik.

Terdahulu, pasukan penguatkuasan MCMC telah menyerahkan satu notis kehadiran di bawah seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan