EKONOMI

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 20.8 Peratus Pada Januari 2025 - Jabatan Perangkaan

13/03/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia turun 20.8 peratus kepada 30,342 tan metrik pada Januari 2025 berbanding 38,299 tan metrik pada Disember 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran meningkat sebanyak 0.2 peratus daripada 30,287 tan metrik pada Januari 2024.

“Pengeluaran getah asli pada Januari 2025 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.0 peratus) berbanding sektor estet (13.0 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah stok getah asli pada Januari 2025 meningkat 6.0 peratus kepada 177,936 tan metrik berbanding 167,801 tan metrik pada Disember 2024.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (12.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” kata Mohd Uzir.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan melaporkan eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,337.6 tan metrik pada Januari 2025, menyusut 0.001 peratus berbanding Disember 2024 (44,337.8 tan metrik). 

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli menyumbang 43.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2025 diikuti Jerman (11.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.3 peratus), Amerika Syarikat (7.6 peratus) dan Portugal (3.0 peratus)

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.4 billion pada Januari 2025, turun 8.1 peratus daripada RM1.5 billion, pada Disember 2024,” kata jabatan itu.

Selain itu, Jabatan Perangkaan melaporkan harga purata bulanan lateks pekat susut sebanyak tiga peratus kepada 678.42 sen sekilogram pada Januari 2025 berbanding 699.35 sen sekilogram pada Disember 2024, manakala sekerap turun sebanyak 1.9 peratus kepada 743.27 sen sekilogram daripada 757.28 sen sekilogram sebelumnya.

Jabatan itu juga berkata harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 1.6 peratus dan tiga peratus

. “The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) susut 3.1 peratus daripada US$1.99 sekilogram (US$1= RM4.41) kepada US$1.93 sekilogram, manakala harga di Singapura dan Malaysia juga menurun sebanyak 0.6 peratus kepada US$1.93 sekilogram daripada US$2.38 sekilogram,” kata jabatan itu. 

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Januari 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan prestasi ekonomi Amerika Syarikat dan China yang tidak menentu.

“Pasaran berdepan tekanan akibat pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan kemerosotan harga minyak mentah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan