SUBANG, 14 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni warga Kementerian Pertahanan sempena Program Ihya’ Ramadan 2025 di Pangkalan Udara Subang, di sini.
Pada program itu, Anwar menunaikan Solat Jumaat bersama lebih 700 jemaah dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan di Masjid Al-Muhajirin dan mendengar khutbah bertajuk “al-Quran Kitab Penuh Mukjizat” yang disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.
Perdana Menteri kemudian mengedarkan bubur lambuk kepada warga Kementerian Pertahanan di masjid berkenaan.
Program Ihya’ Ramadan 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) serta Jabatan Perdana Menteri sebagai wadah mendekati warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba pada 11.55 pagi menghadiri taklimat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertananan di Bilik Mesyuarat Mes Wira Angkasa yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
Turut menyertai taklimat tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Taklimat itu antara lain membincangkan perkara berhubung pemantapan tata kelola, inisiatif reformasi dan pencapaian kementerian.
Usai taklimat itu, Anwar turut meluangkan masa bertemu dengan enam juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam formasi lintas terbang udara semasa Sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial