AM

Perancangan Penyaluran Air Sungai Perak Ke Bukit Merah Pada Peringkat Akhir - PM

14/03/2025 09:23 PM

BAGAN SERAI, 14 Mac (Bernama) -- Perancangan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan membekal air terawat ke Pulau Pinang kini berada pada peringkat akhir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan penyaluran air bagi tujuan industri dan pertanian ke kawasan Kerian dan sekitarnya serta beberapa kawasan di Pulau Pinang.

“ … jadi, bekalan air utamanya bukan sahaja ke kawasan pembangunan baharu, tetapi juga di seluruh daerah ini (Kerian). Dari situ sampailah ke Seberang Perai, Cherok Tok Kun, jadi bekalan air (disalurkan) untuk Pulau Pinang dengan jasa baik orang Perak Darul Ridzuan. Terima kasih banyak,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Perdana Menteri di Sekolah Dato’ Alauddin, Selinsing, di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada Jun tahun lepas, Anwar berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan anggaran RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian.

Sementara itu, usai berbuka Anwar menunaikan solat maghrib berjemaah di surau sekolah berkenaan sebelum meluangkan masa selama kira-kira 10 minit meninjau kemudahan tandas di sekolah itu yang memerlukan pembaikan.

Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjumlah RM13.4 juta kepada Pegawai Daerah Kerian Saidi Shaari.

Beliau turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 140 anak yatim.

Terdahulu, Anwar meninjau projek SejaTi MADANI di Kampung Tebuk Haji Dollah, Bagan Serai dan meluangkan masa kira-kira 10 minit mendengar taklimat serta menyaksikan demonstrasi penggunaan perkhidmatan dron untuk kerja-kerja pertanian di kawasan terbabit.

Penerangan ringkas itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tebuk Haji Dollah, Mohd Arshad Sabri.

JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah merupakan antara komuniti yang berjaya memperoleh geran berjumlah RM100,000 melalui SejaTi MADANI daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Inisiatif yang digerakkan JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah melalui perkhidmatan itu menjadi sebutan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan