EKONOMI

GXBank, Grab Malaysia Senarai Pendek Lapan Syarikat Pemula Pacu Inovasi Fintech

14/03/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) – GXBank Bhd dan Grab Malaysia telah menyenarai pendek lapan syarikat pemula niaga untuk menyertai Program Pemecut TeXnovasi selama enam bulan yang bertujuan memacu inovasi dalam ekosistem teknologi kewangan Malaysia.

Disokong oleh Cradle Fund dan 1337 Ventures, TeXnovasi bertujuan memperkasakan syarikat pemula teknologi kewangan (fintech) tempatan melalui bimbingan dan akses kepada sumber.

GXBank dalam satu kenyataan hari ini berkata lapan syarikat pemula niaga tersebut ialah Cashku, Dui-it, Enprivacy, FinDoctor.my, Finory.tech, Kapitani, PulseLink, dan Swipey.

“Setiap syarikat pemula memberi tumpuan kepada pelbagai aspek keterangkuman kewangan seperti perlindungan dan pengesanan penipuan dan penyelewengan digital, serta membantu memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk berkembang maju,” kata bank tersebut.

Ketua Pegawai Teknologi GXBank Fadrizul Hasani syarikat pemula dipilih berdasarkan potensi inovasi untuk menyelesaikan tiga bidang penting dalam landskap kewangan Malaysia iaitu kebolehcapaian, keselamatan dan pengalaman pelanggan.

“Ekosistem syarikat pemula negara kita mempunyai potensi yang besar terutamanya dalam bidang fintech. Namun, ramai yang sering menghadapi cabaran dalam usaha memperluaskan perniagaan seperti pengawalseliaan, mengimbangi kekompleksan data, teknologi dan pematuhan, serta kekurangan pembiayaan,” katanya.

Senada dengan Fadrizul, Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures Bikesh Lakhmichand berkata melalui program itu, syarikat tersebut menyasar melengkapkan syarikat pemula dengan kemahiran kritikal dan bimbingan yang diperlukan untuk memperluaskan perniagaan mereka dalam sektor kewangan Malaysia. 

“Sesi bengkel eksklusif akan meliputi bidang utama seperti kemasukan pasaran, inovasi, dan pengembangan, untuk menyediakan instrumen penting kepada syarikat pemula bagi mencapai pertumbuhan.

“Mereka juga akan mendapat akses kepada rangkaian luas pelabur awam serta swasta, rakan korporat, dan profesional berpengalaman, yang akan memupuk dan mempercepatkan peluang untuk kejayaan,” katanya. 

GXBank berkata kelapan-lapan syarikat pemula akan mendapat manfaat daripada bimbingan peribadi dan panduan bersemuka daripada pakar bindang di Grab Malaysia dan GXBank. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan