AM

Menteri Agama Santuni Komuniti Ar-Riqab, Martabat Kebajikan Dan Ukhuwah Islamiah

15/03/2025 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyantuni komuniti Ar-Riqab (golongan yang berhak menerima zakat) dalam Program Ziarah Ar-Riqab di Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur (Ar-Riqab KL).

Menerusi kenyataan pejabat menteri berkenaan, program itu bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim dan menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.

Menurut kenyataan itu, Mohd Na’im dalam ucapannya berkata program berkenaan bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga satu bentuk manifestasi tanggungjawab sosial dan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan insan.

“Usaha ini seiring dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua agensi kerajaan memainkan peranan aktif dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

“Bantuan yang disalurkan bukan sekadar berbentuk material, tetapi juga bimbingan rohani dan motivasi agar mereka dapat kembali membina kehidupan yang lebih baik," katanya.

Mohd Na’im turut menyeru semua pihak untuk bersinergi dalam membela nasib golongan memerlukan, selaras dengan nilai kasih sayang dan ihsan dalam Islam kerana percaya setiap individu mempunyai potensi untuk berubah dan membina masa depan yang lebih cerah.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ibu Pejabat Polis Dang Wangi serta badan bukan kerajaan (NGO).

Antara pengisian program itu ialah sesi tazkirah bertajuk "Ramadan Ini Madrasah Bagiku” serta penyampaian sumbangan kepada wakil-wakil asnaf, iftar dan solat isyak dan tarawih secara berjemaah bersama komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan