AM

Allianz Malaysia Memperkasakan Wanita Dengan Program Allianz SheSecures

14/03/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa (#IWD2025), Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) memperkenalkan Allianz SheSecures, sebuah program transformatif yang direka untuk memperkasa wanita di negara ini melalui pembangunan profesional, latihan kepimpinan dan rangkaian sokongan yang kukuh.

Allianz Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu melengkapkan peserta dengan alatan dan keyakinan untuk berjaya dalam dunia insurans yang dinamik.

“Melalui latihan khusus, bimbingan, bengkel pembangunan diri dan maklumat industri, program ini bertujuan memupuk komuniti yang kuat dan sokongan yang membantu wanita menemui dan mencapai matlamat hidup mereka, memberi inspirasi kepada generasi akan datang yang terdiri daripada pemimpin wanita yang pelbagai dan meningkatkan ejen wanita ke dalam peranan kepimpinan sambil memacu keterangkuman yang lebih luas dalam sektor ini,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata syarikat itu mengiktiraf potensi besar pemimpin wanita dan kesan besar yang mereka bawa kepada ekonomi serta masyarakat.

“Allianz SheSecures mencerminkan komitmen kami untuk memperkasakan wanita dengan memberikan mereka sumber, sokongan dan peluang yang diperlukan untuk berkembang maju.

“Dengan memupuk komuniti kuat wanita yang berfikiran sama, kami mewujudkan persekitaran yang membolehkan mereka saling memberi inspirasi, berkembang dan berjaya, baik secara profesional dan peribadi, memacu kejayaan jangka panjang dan keterangkuman yang lebih besar,” katanya.

Program Allianz SheSecures mengalu-alukan wanita daripada pelbagai latar belakang, termasuk graduan baharu, ibu sepenuh masa yang kembali ke dunia pekerjaan, profesional korporat yang mencari peluang kedua, atau bakal usahawan wanita.

Menurut Allianz Malaysia, peserta program ini akan mendapat manfaat daripada inisiatif seperti Allianz C.E.O. Programme, yang menyediakan sokongan kewangan bulanan pada awal kerjaya mereka.

Selain itu, Allianz Malaysia turut menganjurkan Allianz SheSecures Self-Discovery Evening untuk prospek pengambilan peserta pada 11 Mac di Bukit Jalil di sini.

“Sebagai sokongan kepada #IWD2025 dan Cadangan Nilai Pekerja - Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman, pekerja wanita terpilih turut dijemput menyertai acara ini,” menurut kenyataan itu.

Pelancaran Allianz SheSecures di Malaysia hasil kerjasama kukuh semasa sambutan #IWD2025 dengan Allianz Asia Pacific di Singapura, di bawah tema ‘Memperkasa Wanita, Menjaga Masa Hadapan’.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan