AM

Tiket ETS KTMB Sempena Aidilfitri Hanya Berbaki 20 Peratus

14/03/2025 11:44 PM

ALOR GAJAH, 14 Mac (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang dijual sejak 3 Mac lepas, kini hanya berbaki 20 peratus daripada lebih 100,000 tiket yang ditawarkan sempena perayaan Aidilfitri. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata jumlah itu termasuk 12,600 tiket tambahan bagi tempoh perjalanan yang bermula 28 Mac hingga 6 April dengan merangkumi empat perkhidmatan tambahan iaitu dari Gemas ke Butterworth dan dari Gemas ke Padang Besar. 

“Dahulu waktu kemuncak penggunaan keretapi adalah sebelum dan selepas raya tetapi kini, trend sudah berubah kerana penumpang yang tidak mahu berdepan kesesakan jalan raya akan menggunakan perkhidmatan ini ketika hari raya, juga untuk tujuan ziarah. 

“Jadi dalam tempoh lebih kurang 10 hari itu, kita sediakan tiket-tiket ETS bagi memudahkan pergerakan penumpang. Sementara perjalanan arah selatan, tiket KTM Intercity yang merangkumi perjalanan dari Gemas ke JB Sentral dan Kulai Sentral yang terjual sudah mencecah 60 peratus,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Program Sajian Kasih Ramadan: Edaran Bubur Lambuk Kepada Penumpang KTMB sempena ulang tahun ke-140 di Stesen Pulau Sebang di sini hari ini. 

Mohd Rani Hisham berkata sepanjang tempoh operasi itu, tren ETS tambahan akan menawarkan 1,260 tempat duduk sehari termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan dengan jumlah keseluruhan 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan penumpang. 

Terdahulu, 1,400 bubur lambuk diagihkan kepada penumpang KTMB sebagai tanda penghargaan terhadap penumpang setia mereka, selain menjadi inisiatif memperkukuhkan kerjasama dengan rakan strategik dan penduduk setempat sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-140 tahun KTMB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan