DUNIA

Ringgit Dijangka Terus Bertahan Minggu Depan, Cecah 4.43-4.44 Berbanding Dolar AS

15/03/2025 10:25 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

 

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Ringgit dijangka kekal bertahan dalam julat 4.43-4.44 berbanding dolar AS pada minggu hadapan, kerana sentimen pelabur yang berhati-hati terus mengukuhkan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang pelaburan selamat, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata arah aliran seterusnya dalam pasaran mata wang akan bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan diadakan pada 18-19 Mac ini.

“Meskipun rata-rata ahli ekonomi mengunjurkan tiada perubahan pada Kadar Faedah Persekutuan Amerika Syarikat (AS), unjuran suku tahunan kakitangan Rizab Persekutuan akan dipantau dengan teliti oleh para peniaga dan pelabur.

“Unjuran ini amat penting terutamanya apabila kebanyakan bank pelaburan utama menjangkakan mengenai kemelesetan ekonomi AS," katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, kedua-dua Bank of Japan dan Sveriges Riksbank dari Sweden dijangka akan mengadakan mesyuarat dasar monetari mereka minggu hadapan, dengan kedua-dua bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar dasar mereka masing-masing pada 0.50 peratus dan 2.25 peratus.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menjangkakan ringgit akan terus merosot dalam beberapa bulan akan datang ketika pasaran beralih daripada mod berwaspada berkaitan dengan tarif kepada menangani impak penuh dari langkah tersebut.

“Pada minggu depan, saya menjangkakan ringgit berkemungkinan mencecah menghampiri RM4.46 apabila sentimen terus merosot.

“Oleh itu, ringgit dijangka akan diniagakan dalam julat RM4.43 hingga RM4.46, dengan kecenderungan menurun,” katanya.

Sehingga kini, ringgit mencatatkan kenaikan 0.64 peratus berbanding dolar AS tetapi melemah berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menutup dagangan minggu ini pada 4.4410/4455 berbanding dolar AS, merosot berbanding 4.4110/4145 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9809/9842 berbanding 2.9909/9935 minggu lepas, tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.7404/7463 berbanding 5.7070/7115 dan menurun berbanding euro kepada 4.8194/8243 berbanding 4.7903/7941 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga menyusut berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3241/3277 berbanding 3.3185/3214, sedikit menurun berbanding baht Thailand kepada 13.1820/2020 berbanding 13.1124/1290, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 271.6/272.0 berbanding 270.6/271.0 dan merosot sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.75/7.77 berbanding 7.71/7.73 minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan