KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan pelbagai pihak supaya tidak menganggu hasrat kerajaan membantu golongan miskin di bandar, dengan menganjurkan perhimpunan bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Beliau berkata usaha yang dilakukan kerajaan menerusi penggubalan RUU itu bertujuan untuk membela nasib rakyat miskin yang sekian lama terpaksa menetap di flat usang dan daif dengan kapasiti satu bilik dan satu bilik air, di Kuala Lumpur.
“Kita nak gunakan undang-undang ini untuk bangunkan semula supaya orang Melayu di bandar Kuala Lumpur umpamanya tidak hidup merempat, setelah 50 tahun, 60 tahun macam itu juga.. satu kamar (tapi) ditentang, nak buat perhimpunan.
“Saya nak beritahu mereka, jangan cabar kita. Kita nak bela nasib orang miskin, majoriti Melayu, sebahagian kecilnya India dan ada juga Cina, tapi kamu nak ganggu.
“Kalau dia buat himpunan, kita boleh buat perhimpunan satu stadium untuk pertahankan dasar membela nasib orang Melayu,” kata Anwar ketika merasmikan Wakaf MARA MADANI di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Perdana Menteri turut membidas sikap pihak yang menentang rancangan pembangunan semula itu terutamanya yang menggunakan nama parti Melayu dan Islam.
“...dan yang menentang ni orang Melayu, guna atas nama parti Melayu, parti Islam, apa dia pernah cadang untuk tolong Melayu? Tidak ada, atau cadang nak dilakukan untuk membela nasib Melayu miskin di bandar? Tidak ada.
“Sebab itu kita usulkan (rancangan pembangunan semula bandar). Kalau nak ditegur, (silakan) tegur. Nak bagi pandangan tambahan, silakan, tetapi jangan khianati usaha kita,” katanya.
Anwar seterusnya mengulangi bahawa Rang Undang-undang PSB yang dicadangkan untuk dibentang di Parlimen kelak tidak akan mengubah status tanah yang terlibat, termasuk hak milik strata.
Sebelum ini beberapa media melaporkan Pemuda PAS bercadang untuk menganjurkan himpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-undang itu.
Turut hadir pada majlis hari ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Datuk Rubiah Wang, serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial