AM

Kebakaran Lima Maut: Jenazah Keluarga Mohd Alawi Selamat Dikebumikan

27/02/2026 12:15 AM

RAUB, 26 Feb (Bernama) -- Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini awal pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gelugor pada 11.45 malam ini.

Jenazah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Lima van yang membawa semua jenazah tiba di tanah perkuburan pada 10.48 malam selepas selesai proses bedah siasat dan dimandikan di Unit Forensik Hospital Raub serta disolatkan di Masjid Tengku Abdullah Kampung Pamah Kulat di sini.

Majlis pengebumian berlangsung dalam suasana tenang dan penuh hiba dengan kehadiran kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta penduduk kampung yang memberikan penghormatan terakhir.

Kebakaran sekitar 3 pagi tadi telah mengorbankan lima sekeluarga, namun dua lagi anak pasangan itu selamat kerana tiada di rumah, iaitu Ruby Adalia Balqis, 19, yang juga pelajar matrikulasi di Gambang, Kuantan manakala Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan turut menyebabkan tiga kereta serta tiga motosikal terbakar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan