KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat di sini Selasa ini dalam usaha memperkasakan wanita dalam aspek sosioekonomi dan pentadbiran negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS Datuk Dr Ramzah Dambul berkata fokus utama program itu untuk mengenal pasti cabaran dihadapi wanita dalam pelbagai sektor serta meneroka inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi memperluaskan penyertaan mereka dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata perbincangan bertajuk “Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan Yang Lebih Inklusif” juga akan membincangkan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh pemerkasaan wanita di peringkat komuniti.
“Sesi ini akan meneliti pelbagai inisiatif yang boleh digerakkan, termasuk program latihan kemahiran, sokongan keusahawanan, program kepimpinan wanita dan usaha pengukuhan kapasiti. Peranan NGO amat penting dalam membantu meningkatkan taraf hidup wanita, terutama di peringkat akar umbi.
“Mereka bukan sahaja menjadi penggerak utama dalam menyuarakan isu masyarakat, tetapi juga memainkan peranan dalam menganjurkan program latihan dan pembangunan kemahiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramzah berkata sesi perbincangan pada 18 Mac itu akan menampilkan wakil-wakil daripada NGO, pemimpin masyarakat, pakar ekonomi, serta wakil sektor awam dan swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial