EKONOMI

Pelaburan Kerajaan Dalam Sapura Energy Umpama 'Talian Hayat' Kepada Vendor

15/03/2025 08:48 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad and Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pelaburan kerajaan sebanyak RM1.1 bilion dalam Sapura Energy Bhd (SEB) disifatkan memberi harapan yang amat penting bagi vendor-vendor yang bergelut dengan masalah aliran tunai serius disebabkan bayaran tertunggak berjumlah lebih RM10 juta. 

Ketua Pegawai Operasi Keyfield International Bhd, Mohd Erwan Ahmad berkata hutang tertunggak itu telah menyebabkan masalah aliran tunai yang teruk bagi syarikat, terutamanya apabila tunggakan pembayaran dari SEB berlaku pada separuh kedua 2021, semasa kemuncak pandemik COVID-19.

“Kami mempunyai obligasi pembayaran yang perlu dilunaskan dan keadaan ini sangat mencabar. Tetapi kami bertahan dan bersyukur kerana kami tidak terpaksa memberhentikan pekerja.

“Dengan itu kami terpaksa berusaha keras untuk memastikan projek kami tidak lewat disebabkan oleh pembayaran yang tertangguh ini," katanya kepada Bernama.

Beliau percaya campur tangan kerajaan dalam SEB adalah tepat pada masanya dan perlu untuk kelangsungan operasi vendor-vendor, memandangkan jumlah yang terlibat dan bilangan vendor yang terjejas.

“(Suntikan ini) akan mengembalikan keyakinan yang sangat diperlukan dalam keseluruhan rantaian bekalan, semua pembekal akan terus bekerjasama dengan SEB untuk menyumbang kepada pembangunan industri minyak dan gas tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Classic Marine & Services (M) Sdn Bhd Muhammad Khairul Rijal Khalid berkata syarikatnya memahami bahawa banyak industri terjejas akibat pandemik COVID-19, dan syarikat seperti SEB juga tidak terkecuali. 

"Kelewatan pembayaran kepada vendor, termasuk kepada kami, memberi kesan besar kepada ekosistem industri," katanya dan menambah SEB masih mempunyai tunggakan kira-kira RM11 juta kepada Classic Marine bagi tempoh pajakan kapal dari 2021 hingga Januari 2022. 

Beliau berkata syarikatnya beruntung kerana pemilik kapal yang disewa oleh Classic Marine & Services dari Singapura memahami keadaan dan tidak mengenakan denda atas kelewatan pembayaran.

Jika tidak, situasi syarikat pasti akan menjadi lebih sukar, katanya.

Pada 11 Mac, SEB memperoleh pelaburan sebanyak RM1.1 bilion daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) melalui langganan saham pinjaman boleh tebus dan boleh tukar bernilai nominal (RCLS) oleh MDH.

MDH, sebuah entiti tujuan khas di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) menetapkan bahawa hasil daripada langganan ini hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh Kumpulan SEB kepada penyedia perkhidmatan tempatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

Pada 13 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata suntikan RM1.1 bilion ini adalah semata-mata untuk menyelesaikan hutang SEB dengan vendor, melibatkan 2,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak dan gas tempatan, kebanyakannya syarikat bumiputera.

"Pembiayaan ini adalah sebahagian daripada penyusunan semula SEB dan bertujuan untuk menyokong pekerja tempatan yang telah lama tidak dibayar. Ia juga amat penting untuk memelihara ekosistem industri minyak dan gas tempatan," kata beliau.

 

Keyakinan terhadap Sapura Energy Meningkat selepas Memenuhi Komitmen 2023

Mohd Erwan berkata, ketika pertama kali dilaporkan pada awal 2022 bahawa SEB akan memohon perlindungan mahkamah dan berhenti membayar pemiutang serta pembekal untuk kerja yang telah disiapkan, mereka kehilangan kepercayaan terhadap syarikat tersebut.

"Bagaimanapun, dengan pasukan pengurusan baharu secara perlahan-lahan kami memperoleh semula kepercayaan itu kerana Sapura telah menepati janji mereka sejak 2023.

"Kami kini lebih yakin terhadap kemampuan SEB untuk meneruskan pembayaran dan kontrak pada masa akan datang, dengan suntikan modal untuk menyelesaikan masalah dan hutang lama," katanya.

Dengan keyakinan semula terhadap SEB, beliau berkata Keyfield International berhasrat untuk terus bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut.

Sementara itu, Muhammad Khairul Rijal yang menyifatkan suntikan dana kerajaan kepada SEB sebagai langkah penting bagi memastikan kelangsungan industri minyak dan gas tempatan, mengakui peranan besar SEB dalam membantu pertumbuhan syarikat sejak penubuhannya pada 2012. 

Beliau berkata ini terutama apabila kira-kira 80 peratus kontrak pajakan kapal pada 2012 datang daripada SEB. Meskipun, angka berkurang kepada 60 hingga 70 peratus akibat pertambahan klien baharu, SEB masih menjadi antara penyumbang utama kepada operasi syarikat.

"Industri minyak dan gas ini berisiko tinggi, dan masalah utamanya ialah tidak ramai pelabur yang berani mengambil risiko. Malah, bank juga sukar memberikan pembiayaan kerana ketidaktentuan dalam industri ini," katanya.

Justeru, beliau berkata suntikan dana kerajaan kepada SEB merupakan harapan akhir apabila tiada pihak lain yang berani melabur, dan jika tidak, industri minyak dan gas ini akan dikuasai oleh syarikat luar kerana syarikat tempatan tidak cukup berani atau berdaya saing untuk bertahan.

Sementara itu, Pengurus Besar Ruhm Marine Sdn Bhd Kapten Rajendra berkata hutang tertunggak yang tinggi syarikat itu telah mengganggu operasi, dengan kelewatan pembayaran yang berpanjangan menjejaskan aliran tunai. 

"Meskipun kami berjaya mengekalkan tenaga kerja, kami terpaksa melaksanakan langkah pengoptimuman kos. Ini, seterusnya, memberi kesan kepada perbelanjaan modal dan operasi kami," katanya.

Sebagai sebuah syarikat yang bergantung sepenuhnya pada sektor huluan minyak dan gas tempatan, beliau berkata Ruhm Marine percaya campur tangan kerajaan adalah penting untuk memelihara kemampan ekosistem minyak dan gas Malaysia, memastikan daya tahan dan kesinambungan industri tersebut.

Rajendra juga berkata suntikan pelaburan ini boleh membantu mengembalikan keyakinan dalam industri, memastikan kesinambungan projek dan menstabilkan operasi vendor.

“Bagaimanapun, kebimbangan tentang kesihatan kewangan jangka panjang dan isu sistemik dalam sektor ini mungkin masih wujud.

"Penting bagi SEB untuk merenung kembali cabaran yang dihadapi sebelum ini dan mengambil pengajaran daripadanya untuk memperkukuhkan operasi mereka pada masa hadapan," kata Rajendra.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan