SEREMBAN, 16 Mac (Bernama) -- Tiket bas ekspres dari Seremban ke destinasi utama di Pantai Timur habis terjual sehingga 80 peratus sejak minggu lalu, bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Tinjauan Bernama di Terminal Satu (Terminal One) di sini mendapati tiket ke Kuala Terengganu dan Kelantan antara yang paling laris berbanding tiket ke destinasi utara, yang masih banyak belum terjual.
Menurut juruwang di kaunter tiket berpusat (CTS), Edith Patrict, 40, terdapat kira-kira 40 syarikat bas ekspres beroperasi di terminal itu, namun masih ada beberapa syarikat yang belum membuka jualan tiket sempena Aidilfitri.
"Mungkin seminggu sebelum raya akan ada pertambahan tiket. Kebiasaannya, syarikat akan menyediakan bas tambahan bagi perjalanan ke Pantai Timur, tetapi ia bergantung kepada permintaan," katanya kepada Bernama.
Edith turut memaklumkan bahawa terdapat kenaikan harga tiket bas ekspres pada tahun ini, sekitar 25 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, pekerja di kaunter tiket CTS, Rohayu Abdul Manaf, 56, berkata pihaknya hanya mengendalikan pembelian tiket secara berpusat dan tidak terlibat dalam operasi perjalanan bas ekspres.
Beliau berkata harga tiket bagi perjalanan dari Seremban ke Kuala Terengganu kini dijual antara RM88 hingga RM90, berbanding hanya sekitar RM67 tahun lalu.
"Kami dimaklumkan bahawa kenaikan harga ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kos pengoperasian dan penyelenggaraan bas. Walaupun harga tiket naik, orang ramai tetap membeli, terutama untuk pulang beraya," katanya yang telah bekerja di terminal itu selama dua tahun.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan membeli tiket lebih awal secara dalam talian kerana lebih banyak diskaun ditawarkan.
Seorang penumpang, Nurasyikin Abd Malek, 21, berkata dia telah membeli tiket pulang ke kampung sejak pertengahan Februari lepas bagi mendapatkan harga lebih murah.
"Saya beli tiket bas balik raya ke Pengkalan Chepa, Kelantan secara dalam talian dengan harga lebih murah, iaitu sekitar RM65 untuk perjalanan pergi dan RM55 untuk balik.
"Sebagai pengguna, kita perlu bijak membandingkan harga tiket yang ditawarkan di laman web. Beli secara dalam talian lebih menguntungkan kerana terdapat banyak diskaun atau mata ganjaran yang boleh ditebus untuk harga tiket lebih rendah," katanya yang dijadual pulang dua hari sebelum raya.
Seorang pekerja swasta, Zakaria Harun, 37, pula berkata beliau membuat persiapan lebih awal dengan membeli tiket untuk pulang ke Jeli, Kelantan sebelum Ramadan.
"Setiap tahun saya memang akan beli tiket lebih awal kerana saya tahu tiket bas ke Pantai Timur cepat habis. Saya lebih suka naik bas berbanding kereta api kerana ia lebih mudah dan selesa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial