KANGAR, 16 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dimasyhur sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) berkuat kuasa 15 April 2025 hingga 14 April 2030.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemasyhuran itu dibuat selaras peruntukan Seksyen 32 Perlembagaan UniSIRAJ (2024) sekali gus memperkukuh kepimpinan baginda dalam membimbing institusi pendidikan tinggi Islam itu ke arah kecemerlangan.
Menurut kenyataan itu UniSIRAJ yang dahulu dikenali Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) merupakan institusi pendidikan tinggi Islam milik penuh MAIPs yang berperanan penting dalam pembangunan akademik dan dakwah Islam di Perlis serta di peringkat nasional dan antarabangsa.
"UniSIRAJ menjadikan 'Applied Sunnah' sebagai tujahan utama dan menekankan penghayatan sunnah dalam setiap aspek kehidupan selaras dengan slogannya, "Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan"," menurut kenyataan itu.
Pada 23 Nov lepas, media melaporkan Tuanku Syed Faizuddin Putra mengumumkan KUIPs dinaik taraf menjadi UniSIRAJ setelah menerima kelulusan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan setakat ini universiti berkenaan menawarkan 27 program pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah menerusi empat fakulti utama iaitu Fakulti Pengajian Islam; Fakulti Muamalat & Kewangan Islam; Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan serta Fakulti Al-Quran & Sunnah selain Pusat Pengajian Asasi dan Pusat Pengajian Siswazah.
"Selain menitikberatkan kajian dalam bidang pengajian Islam, muamalat dan syariah, universiti ini turut memperkenalkan elemen pendidikan berasaskan teknologi digital dan keusahawanan Islam," menurut kenyataan itu.
UniSIRAJ juga menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara termasuk universiti terkemuka di Timur Tengah dan Asia Tenggara bagi memastikan mutu pendidikan yang ditawarkan sejajar dengan perkembangan semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial