SEPANG, 16 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meneruskan komitmennya dalam mengeratkan hubungan dengan komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan dengan menyantuni komuniti Kampung Batu Laut yang merupakan kampung angkat agensi itu.
Majlis bertemakan “Indahnya Ramadan” yang berlangsung di Masjid Inayaturahman, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, yang merupakan inisiatif di bawah Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung itu turut meraikan 21 anak yatim serta menyalurkan sumbangan kepada pengurusan masjid.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj hadir sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangadi.
Nur-ul Afida ketika ditemui berkata agensi berita itu menekankan kepentingan menyumbang semula kepada masyarakat khususnya pada bulan Ramadan.
"Menerusi program CSR Ramadan ini, kami berhasrat untuk berkongsi kebaikan bersama masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangadi berkata program CSR hari ini merupakan program ketiga diadakan Bernama dengan penduduk setempat.
Beliau berkata sumbangan yang disampaikan kepada anak yatim dan golongan asnaf meringankan beban sepanjang bulan puasa dan menyambut Aidilfitri nanti.
"Program melibatkan Bernama sebagai agensi berita dapat menaikkan imej kampung ini kepada masyarakat," katanya.
Program hari ini turut mendapat sokongan rakan strategik Bernama iaitu Rimbunan Kuasa Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), MTD Group, Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Acara tahun ini merupakan program CSR Ramadan ketiga agensi berita itu selepas penganjuran kali pertama di Bazaria Lembah Pantai pada 2023 dan kali kedua di Dataran Putrajaya tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial