AM

Program CSR Ramadan Bernama Inisiatif Tepat Bantu Golongan Memerlukan - Rakan Strategik

16/03/2025 09:35 PM

SEPANG, 16 Mac (Bernama) -- Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menjadi platform bermakna dalam membantu golongan memerlukan, mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah menyifatkan inisiatif itu bukan sahaja tepat pada masanya, tetapi juga seiring dengan komitmen PERNAS dalam menyantuni mereka yang memerlukan bantuan.

Justeru, beliau menegaskan bahawa PERNAS bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Bernama bagi menjayakan lebih banyak program CSR pada masa hadapan.

"Sebelum ini memang kita telah adakan beberapa aktiviti CSR dengan Bernama. Jadi kita akan teruskan kerjasama dengan Bernama pada masa hadapan. PERNAS memang sangat aktif dalam melibatkan diri membantu golongan sasar.

“Program Bernama ini memang bertepatan dengan objektif yang pernah PERNAS ada selama ini iaitu membantu golongan sasar," katanya ketika ditemui pada Program CSR 2025 Bernama yang berlangsung di Masjid Inayaturahman, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, hari ini.

Ketua Perancangan Korporat dan Komunikasi MTD Group Noorfarizan Lod turut menyambut baik penganjuran program ini, menyifatkannya sebagai inisiatif yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

"MTD Group mengucapkan terima kasih kepada Bernama kerana menjemput kami untuk menjadi antara rakan strategik untuk program pada hari ini. Alhamdulillah, semuanya saya harap berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau menegaskan komitmen MTD Group untuk terus menyokong program kebajikan yang dianjurkan Bernama, khususnya dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

"Jadi sekarang ini pun bulan Ramadan, kita boleh mengambil keberkatan dengan memberikan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan. Ini adalah satu program yang insya-Allah pada masa akan datang, kita juga akan menyokong kerana saya percaya rezeki perlu dikongsi bersama," katanya. 

Naib Presiden (Jualan) Rimbunan Kuasa Sdn Bhd Kelvin Sow Wai Phang pula menyuarakan kegembiraannya kerana dapat menyertai program ini, sambil menekankan kesediaan syarikat untuk terus menyokong inisiatif seumpamanya pada masa hadapan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat Datuk Borhan Aman Shah memuji penganjuran program ini yang disifatkannya sebagai usaha menyantuni masyarakat setempat, khususnya mereka yang memerlukan.

"Kami bagi penduduk mengucapkan terima kasih dan dapat sumbangan bukan sahaja untuk anak miskin tapi sumbangan kepada masjid. Ini memberi sedikit semangat kepada kami meneruskan program kebajikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau turut hadir sebagai tetamu jemputan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan bersempena program ini.

Program CSR Bernama 2025 turut mendapat sokongan rakan strategik lain, seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Inisiatif ini ialah program CSR Ramadan ketiga anjuran Bernama selepas edisi sulung di Bazaria Lembah Pantai pada 2023 dan Dataran Putrajaya pada tahun lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan