KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Wanita Persatuan Kebangsaan Malayalee Malaysia (AMMA) menganjurkan acara ‘shopping hunt’ di pasar raya untuk amal sempena Hari Wanita Antarabangsa yang menghimpunkan ahli-ahli untuk tujuan yang bermakna dan menyeronokkan.
Sebanyak 76 peserta daripada AMMA mengambil bahagian dalam acara itu yang diadakan di Pasar Raya Lulu, di sini semalam.
Peserta dibahagikan kepada 19 pasukan yang terdiri daripada empat orang setiap satu, yang berlumba-lumba untuk menyelesaikan petunjuk dan membeli barang-barang keperluan seperti makanan, peralatan mandian dan barang keperluan rumah dalam tempoh yang diperuntukkan. Pertandingan itu dirasmikan Naib Presiden AMMA Datin Seri Shaila Nair.
Turut hadir Pengerusi Majlis Wanita AMMA Shobhna Nair dan pegawai kanan Lulu Hypermarket Mujeeb Salahudeen serta Mohammed Aslam.
Shobhna Nair berkata semua barangan yang dibeli didermakan kepada dua rumah kebajikan iaitu Rumah Anak Yatim Keramat dan Karunai Illam, bagi menyokong mereka yang memerlukan.
Bagi menambah keseronokan, tiga pasukan dengan markah tertinggi menerima hadiah berupa barangan elektronik.
Pasukan 'The Cart Crashers' yang terdiri daripada Geetha Padmanabhan, Santhi V. Zevaraj, Manjoo Maithili Ganesan dan Pavesha Nair muncul juara setelah meraih 91.5 markah.
Mengekor rapat di tempat kedua ialah pasukan Alumni St Anne’s Convent, Klang yang diwakili Ng Pick Wan, Puspamala Somoo, Magdeleen Cross dan Melissa Bhagat dengan 90 mata.
The Boss Babes (Persatuan Malabari Malaysia) – yang diwakili Sharifah Said Ali, Juina Joha, Aqila Shafra Abd Kadir dan Nor Janati Abd Hamid - menduduki tempat ketiga dengan 87 mata.
Acara ini berjaya menggabungkan keseronokan, kerjasama pasukan dan amal, mengukuhkan komitmen AMMA untuk memberi kembali kepada komuniti sambil meraikan semangat Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial