AM

Negeri Sembilan Mohon Projek TAPS Linggi Dan Empangan Sabo Dipercepatkan

16/03/2025 08:50 PM

TAMPIN, 16 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memohon perhatian dan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi dan Empangan Sabo.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia bertujuan untuk mengelakkan krisis air mentah di negeri berkenaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

"Negeri ini bakal mengalami krisis sumber air mentah pada tahun 2030 jika tiada langkah mitigasi segera," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Serbaguna Tampin di sini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri terus fokus dengan usaha sistematik dan komprehensif untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan penambahbaikan aspek penjagaan serta akses kesihatan dan merekodkan kadar sifar bagi miskin tegar.

Beliau berkata selain itu kerajaan negeri komited mempertingkat bekalan rumah mampu milik berkualiti, mempergiat aktiviti ekonomi dan menggalakkan gaya hidup rakyat aktif berasaskan data daripada jadual input-output negeri dan daerah. 

"Negeri Sembilan adalah perintis kepada pewujudan jadual input-output wilayah di Malaysia. Pembangunan jadual input-output negeri dan daerah ini bakal membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan penggubalan dasar berasaskan bukti.

"Kerajaan negeri berbesar hati sekiranya terdapat bantuan, kemudahan dan infrastruktur yang membantu meningkatkan kehidupan rakyat di negeri ini, contohnya pembangunan pertanian pintar dengan penggunaan automasi dan internet kebendaan (IoT) dalam pertanian (Ketepatan Pertanian)," katanya.

Selain itu, Aminuddin berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan wajar membantu mempercepat projek tanaman premium dan industri hiliran pertanian bagi menambah nilai kepada hasil tani tempatan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Port Dickson dinobatkan antara 10 bandar paling bahagia di negara ini pada tahun lepas dan Bandar Komuniti Bahagia Tampin turut menerima Anugerah Bandar Apresiasi Khas.

"Antara penyumbang utama tahap kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk adalah kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan