JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Kelantan Tahan 35 Pendatang Tanpa Izin

16/03/2025 11:39 PM

KOTA BHARU, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 35 pendatang tanpa izin menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar bandar ini termasuk di Terminal Bas Lembah Sireh semalam.

Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata tahanan itu melibatkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berumur antara 13 hingga 58 tahun.

Beliau berkata penahanan itu hasil risikan bahagian penguat kuasa imigresen dengan membabitkan 13 pegawai bagi menjayakan operasi yang dijalankan sekitar 2 pagi itu.

“Menerusi operasi itu kita menahan 24 lelaki, sembilan perempuan dan dua remaja lelaki warga Indonesia. Kesemua kanak-kanak ditahan bersama ibu dan bapa masing-masing.

“Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan