KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pendedahan mengenai peningkatan mendadak jumlah transaksi skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) yang mencatatkan RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024 adalah sesuatu yang mengejutkan.
Lebih mengejutkan apabila golongan paling aktif menggunakan BNPL terdiri daripada individu berusia antara 21 hingga 45 tahun, dengan pendapatan bulanan kurang RM5,000.
Walaupun ramai pengguna mengakui BNPL boleh menjadi alat kewangan yang sangat membantu, mereka turut memberi amaran skim itu berpotensi bertukar menjadi perangkap hutang tersembunyi jika tidak diuruskan dengan cermat.
Perunding pemasaran digital di sebuah syarikat swasta Muhamad Rakib Ansari, 24, berkata pengguna perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan beban hutang yang tinggi dan menghentikan sebarang perbelanjaan tidak perlu.
“Disebabkan saya selalu membuat bayaran dalam tempoh yang diberikan, saya anggap skim ini banyak membantu dalam kehidupan.
“Namun kita perlu ukur baju di badan sendiri kerana skim ini boleh menjadi masalah jika tidak digunakan dengan bijak, contohnya bayaran balik BNPL itu kadangkala mengenakan cas yang melampau,” katanya kepada Bernama.
Pelajar sebuah universiti awam di Selangor Muhamad Harris Zafry, 24, yang menggunakan skim BNPL untuk membeli buku rujukan dan barangan elektronik turut mengakui skim ini sangat membantunya terutama dalam situasi terdesak.
Namun, beliau juga menyedari tanpa pengurusan yang betul, BNPL boleh menjadi satu bebanan.
"Menerusi BNPL, saya tidak perlu risau tentang cara mendapatkan wang dalam tempoh singkat dan boleh memiliki barang yang diperlukan dengan segera.
“Namun, jika bayaran tertangguh, penalti akan dikenakan oleh syarikat BNPL dan ini menyebabkan hutang saya semakin bertambah," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin menggesa agar skim BNPL dikawal selia bagi melindungi pengguna daripada sebarang penipuan atau caj berlebihan.
Beliau berkata FOMCA mencadangkan agar penyedia perkhidmatan BNPL menilai kemampuan kewangan pengguna sebelum meluluskan transaksi serta memastikan ketelusan dalam terma dan syarat, terutamanya mengenai caj dan penalti.
Beliau berkata dengan perancangan dan disiplin kewangan yang baik, BNPL boleh menjadi kaedah yang berguna, tetapi jika disalahgunakan ia berisiko menjerat pengguna dalam beban hutang yang tinggi.
“Apa yang penting, penggunaan BNPL hanya untuk membeli barang keperluan, dan bukan memenuhi kehendak semata-mata,” katanya.
Pada 11 Mac lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melaporkan jumlah transaksi skim pengguna BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas, serta 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.
Amir Hamzah berkata kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial