KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Syarikat pembentungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sedang dalam proses mendapatkan kelulusan bagi penghasilan baja yang akan digunakan untuk tanaman makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK M. Narendran berkata penghasilan baja tersebut merupakan satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) IWK, sebagai inisiatif pemulihan sumber bagi menjana kelestarian untuk masa depan hijau.
“Pihak kami dalam proses mendapatkan kelulusan untuk digunakan bagi tanaman makanan. Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong penuh usaha ini dan dalam proses akhir untuk mendapatkan kelulusan supaya ia dapat digunakan. Saya rasa pada hujung tahun ini kita boleh dapat kelulusan.
“Jadi melalui baja ini kita dapat bantu golongan B40 yang nak usahakan pertanian bandar. Kita boleh bagi baja ini dengan kadar yang sangat berpatutan, supaya golongan yang hendak menerokai bidang ini dapat berjaya,” katanya ketika menjadi tetamu Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini bertajuk “IWK: Menjana Kelestarian Untuk Masa Depan Hijau”.
Beliau berkata baja tersebut berjaya dihasilkan selepas beberapa tahun menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), menggunakan resepi khas yang dibangunkan oleh IWK.
“Baja ini daripada enap cemar, kita campur dengan tandan kosong dan sekam padi serta beberapa elemen lain yang dapat mencapai nilai Nitrogen, Fosforus dan Potassium (NPK) melebihi empat peratus, yang baja ini setanding dengan baja organik,” katanya.
Dalam perkembangan lain Narendran berkata, IWK melalui penyelidikan telah mengenal pasti sistem pengudaraan, reka bentuk, dan proses loji yang menggunakan ruang yang lebih kecil, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, serta meningkatkan kecekapan mikrob dalam proses biologi.
Ditanya berkenaan inovasi atau projek baru yang sedang dibangunkan IWK, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti hampir 1,000 loji daripada 7,500 loji untuk pemasangan solar.
“Jadi pihak kami telah menjemput melalui tender terbuka untuk pihak swasta dan pihak swasta boleh melabur dalam pemasangan solar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial