AM

Lapan Petugas Kemanusiaan MAPIM Maut Dalam Serangan Udara Di Gaza

17/03/2025 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata serangan berlaku pada 1.30 tengah hari, ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.

"Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan ialah jenayah paling keji dan terkutuk. 

“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sani Araby berkata MAPIM dan rakan rasminya Al-Khair Foundation amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi meragut nyawa petugas lapangan itu, dengan tiga daripadanya ialah pasukan media yang berdedikasi dalam menjalankan misi kemanusiaan.

Beliau berkata lapan petugas kemanusiaan yang terkorban dikenal pasti sebagai Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad dengan semuanya ialah warga Palestin.

“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa, tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.

“MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” katanya.

Sani Araby bagaimanapun berkata MAPIM akan tetap teguh dengan komitmen dalam melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan di Gaza, dengan setakat ini organisasi itu berjaya mendirikan 1,000 khemah yang menjadi perlindungan sementara mangsa yang kehilangan rumah akibat pengeboman tanpa henti di Gaza.

Beliau turut menegaskan serangan itu ialah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi hak penduduk awam di kawasan perang serta perlu dikecam oleh seluruh dunia tanpa kompromi.

“MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menghentikan keganasan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa yang terkorban serta keluarga mereka.

"Kejadian ini bukan sekadar serangan terhadap Gaza, ia serangan terhadap kemanusiaan. Kami menggesa pemimpin dunia, organisasi kemanusiaan dan masyarakat sivil untuk bersatu mengecam jenayah kejam ini dan menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pihaknya menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengenakan tindakan tegas terhadap Israel kerana melakukan jenayah perang terhadap petugas kemanusiaan.

Beliau berkata MAPIM turut menuntut gencatan senjata segera bagi menghentikan pembunuhan berterusan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa dan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan di Gaza untuk memastikan mereka mendapat keperluan asas.

“Kami merakamkan takziah kepada ahli keluarga petugas yang syahid dan mendoakan agar mereka tabah melalui ujian ini. Moga roh semua yang syahid itu menerima ganjaran terbaik dari Allah SWT.

“Ini bukan kali pertama Israel melakukan serangan ke atas petugas kemanusiaan. Berpuluh petugas telah terkorban sebelum ini sepanjang jenayah genosid Israel di Gaza,” katanya.

Beliau berkata MAPIM menyeru masyarakat dunia untuk bangkit menentang kezaliman dan tidak membiarkan Israel terus melakukan keganasan tanpa sebarang tindakan balas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan