SUKAN

Muhammad Rafiq Muncul Naib Juara Di Nevada

17/03/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail hampir melakar sejarah menjadi wakil negara pertama memenangi Jelajah Professional Bowlers Association (PBA) di Amerika Syarikat pada Ahad lepas.

Ini selepas Muhammad Rafiq muncul naib juara PBA Scorpion Championship apabila tumpas di tangan Rasmus Edvall dari Sweden 224-172 pada aksi final stepladder yang berlangsung di National Bowling Stadium di Reno, Nevada.

Keputusan tersebut menyaksikan Edvall berjaya membalas dendam susulan kekalahan dialami kepada bekas juara dunia 2018 itu di peringkat penyingkiran 3-0 (228-176, 251-164, 259-183).

Terdahulu, kemenangan di peringkat penyingkiran itu membolehkan Muhammad Rafiq mara ke final stepladder sebagai pilihan utama manakala pencabar lain yang tewas terpaksa mengharungi beberapa lagi perlawanan sebelum bertemu wakil Malaysia tersebut.

Pencapaian atlet berusia 27 tahun itu sekali gus menyaksikannya memperbaiki kedudukan ketiga yang pernah diraihnya di kejohanan Greater Jonesboro Open 2018, yang juga merupakan pencapaian terbaik buat pemain boling Malaysia pada Jelajah PBA sebelum ini.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok ketika dihubungi berkata pihaknya amat bangga dengan kejayaan dicatat pemain dari Selangor itu.

“Sayang beliau tidak menang namun ia tetap satu pencapaian yang hebat buat Muhammad Rafiq,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan