EKONOMI

Malaysia Sasar Jualan Hartanah RM180 Bilion Pada 2025

17/03/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasar untuk menjana jualan hartanah RM180 bilion merentas semua sektor tahun ini, kata menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata kementerian juga bekerjasama rapat dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia untuk menganjurkan Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025 yang julung kali pada 23 hingga 26 Julai ini.

“Acara itu akan diadakan bersama Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan (ARCHIDEX) dan akan melibatkan kalangan negara ASEAN.

“Pada masa sama, kita juga akan menjemput China untuk mengambil bahagian,” katanya pada sidang media sempena lawatan sambil belajar Pemimpin Hartanah Asia (AREL) selama tiga hari di Melbourne, Australia, baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan lebih 50,000 pengunjung dengan jualan kira-kira RM1.2 bilion dapat dijana daripada AREC dan ARCHIDEX 2025.

AREC akan menghimpunkan lebih 180 pemegang kepentingan utama dari sektor perumahan dan hartanah Australia dan Malaysia.

Institut Rehda dan Monash University menganjurkan acara itu.

Dalam pada itu, lawatan sambil belajar tersebut memberi peluang kepada pemaju Malaysia untuk membina jalinan dengan pakar terkemuka Australia dalam pembangunan untuk penggunaan bercampur, perkampungan persaraan, pembangunan mampan, perumahan sosial dan perbandaran bandar.

Nga berkata Malaysia telah merekodkan jumlah dan nilai tertinggi transaksi hartanah tertinggi pada 2024 untuk tempoh sepanjang dekad lepas.

Nilai transaksi hartanah meningkat 18 peratus kepada RM223.2 bilion berbanding RM196.8 bilion pada tahun lepas.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama, Nga berkata penduduk Malaysia semakin menua dengan mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas diunjurkan meningkat kepada 14.5 peratus pada 2040 daripada 8.3 peratus pada 2020.

“Satu daripada setiap sepuluh orang memerlukan penyelesaian perumahan yang direka khusus untuk memenuhi keperluan warga emas. Bagaimanapun, realitinya adalah hanya 2.1 peratus daripada jumlah penawaran perumahan di Malaysia direka untuk warga emas,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak bagi Malaysia untuk membangunkan penyelesaian khusus dalam menangani keperluan warga emas.

Malaysia berminat untuk meneroka pembangunan kehidupan warga emas sebagai segmen yang baru muncul dalam pasaran perumahan domestik, katanya.

Nga berkata pihaknya telah memperuntukkan RM30,000 kepada Institut REHDA untuk membantu dalam penyelidikan berkaitan perkara itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan