AM

Sekatan Perjalanan Bukan Cara Tingkatkan Bayaran Balik PTPTN - Zambry

17/03/2025 04:48 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum membuat sebarang keputusan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan mengambil pendekatan holistik dalam menilai faktor kutipan bayaran balik kerana langkah menyekat perjalanan bukan satu-satunya kaedah untuk menggalakkan peminjam melunaskan tunggakan pinjaman mereka.

“Kita tidak hanya meletakkan itu (sekatan sebagai satu-satunya kaedah (tingkat pembayaran). Kita perlu melihat secara keseluruhan apakah faktor yang membolehkan kita tingkatkan kutipan daripada pinjaman.

“Ini termasuk mengadakan kutipan ataupun melalui ejen untuk memaklumkan kepada mereka (peminjam) selain surat peringatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ihya’ Ramadan warga KPT bersama Perdana Menteri hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar KPT muncul sebagai kementerian yang penting untuk membawa perubahan besar dalam dunia pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata perkara itu disampaikan Anwar dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPT yang membincangkan pelbagai perkara berhubung pemantapan tatakelola, inisiatif reformasi dan pencapaian utama kementerian hari ini.

"Beliau (Anwar) mengharapkan agar transformasi  sedang kita lakukan ini benar-benar memberi impak yang besar bukan hanya kepada sudut ekonomi dan pembangunan tetapi juga melibatkan dari segi pembinaan manusia (modal insan) itu sendiri," katanya. 

Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama pengurusan KPT sebelum menyertai kira-kira 300 warga kementerian itu mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk "Maqasid Al-Quran dan Masyarakat MADANI".

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan