AM

SPNB Mohon Peruntukan Tambahan Bina Lebih Banyak RMR Seluruh Negara

17/03/2025 05:59 PM

MELAKA, 17 Mac (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan lebih banyak Rumah Mesra Rakyat (RMR) dibina di seluruh negara pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mohd Jamil Idris berkata pihaknya menerima 69,000 permohonan dari seluruh negara setakat ini dan daripada jumlah itu, 13,000 berada dalam status menunggu giliran pembinaan.

Beliau berkata terdapat beberapa kekangan bagi mempercepatkan pembinaan lebih banyak RMR yang bukan sahaja soal peruntukan tahunan tetapi melibatkan prestasi kutipan bayaran pembiayaan.

"Justeru, saya mohon penerima RMR agar menjelaskan pembiayaan bulanan tanpa culas agar dapat memberi peluang lebih ramai memiliki RMR," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat dan Penyerahan Surat Tawaran RMR 2025 Sesi Kedua Bagi Negeri Melaka kepada 106 pemohon di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan turut dihadiri Pengarah SPNB negeri Khairul Azhar Abdullah.

Mohd Jamil berkata Melaka merupakan negeri ketiga terbaik dalam prestasi kutipan bayaran bulanan pembiayaan RMR sekali gus berpotensi mendapat peruntukan tambahan bagi membolehkan lebih banyak RMR dibina pada masa hadapan.

Beliau berkata dalam hal ini SPNB sedia berbincang dengan penerima RMR yang berdepan masalah bagi membuat penstrukturan semula pembiayaan, namun jika tertangguh lebih 12 bulan, tindakan undang-undang terpaksa diambil termasuk notis sita sekiranya perlu.

"Pembiayaan RMR adalah untuk RM55,000 berbanding kos pembinaan sebenar yang berjumlah RM75,000, dengan baki kos RM20,000 ditanggung kerajaan dalam bentuk subsidi.

"Masih ramai penerima yang gagal membuat bayaran mengikut masa ditetapkan tetapi di Melaka golongan berkenaan tidak ramai," katanya sambil memaklumkan antara alasan gagal melunaskan pembiayaan ialah tidak mempunyai pendapatan setelah diberhentikan kerja dan isu keluarga.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, SPNB telah membina sebanyak 69,848 RMR di seluruh negara dengan 3,626 daripadanya di Melaka.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata setakat ini, prestasi kontraktor SPNB yang melaksanakan pembinaan RMR di Melaka amat baik kerana berjaya menyiapkan kediaman berkenaan kurang daripada 45 hari dan rumah dibangunkan adalah berkualiti.

"Kalau ada kelewatan pun, ia bukan berpunca daripada kontraktor tetapi isu penyediaan tapak oleh tuan tanah atau pemohon. Di peringkat kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada SPNB kerana telah membina banyak RMR dan diharap Melaka akan mendapat kuota tambahan pada tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan