EKONOMI

Bank Islam Agih Juadah Berbuka Kepada Kakitangan Bernama

17/03/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd hari ini mengagihkan kira-kira 300 pek juadah berbuka puasa kepada kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan Bank Islam Siti Mahani Sh Abd Ghani berkata bank berkenaan sentiasa meraikan dan berkongsi rezeki dengan rakyat Malaysia, dan agihan juadah berbuka puasa itu adalah antara program tahunan Bank Islam sejak 10 tahun lepas. 

“Bulan Ramadan ini adalah bulan kemuliaan yang penuh keberkatan. Jadi sebagai agensi institusi kewangan Islam yang sudah beroperasi di Malaysia melebihi 40 tahun, kami berharap rezeki ini dapat dikongsi bersama rakan media. 

“Kami mahu mengeratkan lagi silaturrahim antara rakan media yang sudah lama terjalin,” katanya pada program agihan juadah berbuka puasa di Wisma Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata pada tahun ini, Bank Islam telah memperuntukkan lebih RM570,000 untuk program Ihya Ramadan termasuk menyantuni golongan asnaf dan program Ihtimam Ramadan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak. 

“Kami turut meraikan warga kerja di sekitar Kuala Lumpur yang tidak sempat pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama kami secara percuma, setiap hari bekerja, dan kami sediakan juadah berbuka untuk lebih 500 orang di Menara Bank Islam,” katanya sambil memaklumkan Bank Islam turut mengadakan program menyantuni golongan asnaf, rakan media dan komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan