PASIR PUTEH, 17 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memantau lebih daripada 15 kawasan 'hotspot' di seluruh Kelantan menerusi Op Hari Raya (Op HRA) 2025 yang akan bermula pada 24 Mac hingga 8 April ini.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata operasi itu turut melibatkan beberapa jalan utama Persekutuan yang sering berlaku kemalangan seperti di Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Puteh, Machang dan Jeli.
“Kita jangkakan lebih dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti dan anggota kita akan membuat rondaan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dengan kerjasama daripada agensi keselamatan lain termasuk polis.
"Kita juga telah mula menguatkuasakan penggunaan lampu amaran 'amber light' bermula hari ini hingga 8 April depan di beberapa lokasi di seluruh Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sesi Libat Urus dan Gimik Pelancaran Operasi HRA 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Stesen Penguatkuasa JPJ Bukit Jawa, di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi.
Sementara itu, Jazmanie berkata teknik penyamaran akan terus dilakukan sepanjang Op HRA 2025 bagi mengurangkan kesalahan jalan raya membabitkan pengangkutan awam.
"Saya harap semua pemandu sentiasa komited mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum terutama ketika musim perayaan Aidilfitri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial