AM

DBKK Perketat Pemantauan Populasi Buaya Di Kota Kinabalu

17/03/2025 10:29 PM

KOTA KINABALU, 17 Mac (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketat pemantauan terhadap populasi buaya di Sungai Darau, berhampiran Bengkel Depoh DBKK serta kawasan  'hotspot’ lain di sekitar bandar ini dengan meningkatkan rondaan berkala.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, yang mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya kepada Masyarakat DBKK, berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai kehadiran buaya di laut berdekatan pantai Tanjung Lipat, yang tular di media sosial.

“Pemantauan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut beliau, jawatankuasa yang ditubuhkan pada 30 Jan tahun lepas telah melaksanakan beberapa siri operasi pemantauan. Operasi pertama dijalankan pada 29 Feb hingga 1 Mac tahun lepas di Sungai Darau, Sungai Kalansanan dan beberapa kawasan hotspot  yang dikenal pasti.

Operasi kedua pula dilaksanakan pada 19 hingga 20 Ogos tahun lepas susulan laporan kehadiran buaya di laut berdekatan pantai Tanjung Lipat.

Jawatankuasa berkenaan turut mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kajian anggaran bilangan buaya di kawasan seliaan DBKK, memasang papan tanda amaran di lokasi berisiko tinggi serta memasang CCTV di kawasan hotspot.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan.

Sementara itu, APM Kota Kinabalu dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menjalankan pemantauan buaya di sekitar kawasan pantai Tanjung Aru bersama JHL.

Menurut perkongsian itu, seekor buaya dianggarkan sepanjang 1.5 meter dilihat berdekatan pantai Tanjung Aru.

“Setakat ini, JHL telah melepaskan dua das tembakan terhadap buaya tersebut, namun reptilia tu masih terlepas dan belum berjaya ditangkap,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan