AM

60.7 Tan Lebihan Makanan Diselamatkan Ramadan Tahun Lepas - SWCorp

18/03/2025 10:49 AM

MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Sebanyak 60.7 tan lebihan makanan dianggarkan bernilai RM726,000 diselamatkan daripada dibuang menerusi pelaksanaan Program MySaveFood, pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata inisiatif itu melibatkan 149 bazar Ramadan di Perlis, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lebihan makanan diselamatkan melibatkan juadah tidak habis dijual oleh peniaga bazar Ramadan yang menyertai program itu dan kemudiannya diagihkan kepada pelbagai pihak antaranya ke institusi pengajian tinggi, surau atau masjid dan taman perumahan.

"Pada tahun ini, kita menjangkakan jumlah makanan diselamatkan lebih kurang sama dengan tahun lepas kerana di Melaka sahaja, walaupun dalam tempoh beberapa hari, lebihan makanan dan minuman diselamatkan mencecah 4.8 tan. 

"Lebihan makanan dan minuman berkenaan akan diagihkan kepada golongan memerlukan sekali gus mengelakkan pembaziran," katanya kepada pemberita selepas Program MySaveFood Ramadan di Bazar Ramadan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp Zulkifli Tamby Chik dan Pengarah SWCorp Melaka Nor Zaki Md Nor.

Mengulas lanjut, Khalid berkata inisiatif itu bukan sahaja mengelakkan pembaziran, tetapi juga menyumbang kepada pengurangan jumlah sisa pepejal dibuang ke tapak pelupusan di negeri terlibat.

"Sebenarnya secara keseluruhan, kita mendapati jumlah sisa dilupuskan di tapak pelupusan sampah di tujuh negeri terlibat bersempena dengan Ramadan setakat hari ini berkurang sebanyak 2.7 peratus berbanding bulan lain.

"Pengurangan itu membuktikan program MySaveFood Ramadan berjaya mengelak pembaziran sekali gus memberi impak positif kepada peniaga dan penerima lebihan makanan terbabit," katanya.

Mengulas pelaksanaan program itu di Melaka, Khalid berkata purata lebihan makanan dan minuman diselamatkan di empat bazar Ramadan mengambil bahagian iaitu MITC, Peringgit, Jasin Bestari dan Alor Gajah ialah 600 kilogram (kg) sehari.

Secara keseluruhannya, sebanyak 5,304 kg makanan dan minuman diselamatkan di empat bazar berkenaan sejak program itu bermula pada 10 Mac. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan