AM

OKU Penglihatan "berkampung" Pelajari Al-Quran

18/03/2025 12:01 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

TEMERLOH, 18 Mac (Bernama) -- Kekurangan yang dihadapi bukanlah alasan, namun semuanya berbalik kepada usaha dilakukan sebagaimana kegigihan sekumpulan individu cacat penglihatan yang sanggup "berkampung" di daerah ini setiap bulan demi mempelajari al-Quran Braille.

Biarpun kebanyakannya sudah berusia, semangat mereka untuk mempelajari kalam Allah SWT bersama rakan yang lain itu tidak pernah luntur bahkan semakin membara, ibarat kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ pastinya ada jalan. 

Begitu jugalah dengan Zulkarnain Selamat, 40, yang sudah menjadi rutin buatnya untuk pergi ke premis Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Pahang di Mentakab di sini dari Felda Rentam, Triang, Bera sejak tahun lepas bagi mendalami kitab suci itu.  

Bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak kecil, dia beranggapan kekurangan dimiliki tidak wajar dijadikan halangan untuk golongan sepertinya meraih pahala dengan membaca al-Quran sama seperti individu normal lain.

Katanya, mereka akan bermalam di pusat berkenaan selama lapan hari setiap bulan dan kelas mengaji bermula dari 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan bimbingan Ustazah Nurul Hidayah Shahidan yang juga seorang cacat penglihatan.

“Setiap bulan memang saya akan ke sini, ada ahli keluarga yang tolong hantar. Inisiatif ini saya ambil sebab suka dengan al-Quran sejak kecil dan di pusat ini ada ustazah (yang bantu) semak bacaan serta betulkan tajwid,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Kelihatan bersemangat ketika mengalunkan ayat suci al-Quran sambil jari "lincah" menyentuh kod Braille ketika disapa penulis, Zulkarnain turut memberitahu dia sudah berjaya menghafal beberapa surah seperti Al-Mulk, Sajadah dan Yasin, malah kini sedang berusaha mengingati al-Kahfi.

Bagi warga emas Mohamed Jasmi Yaakob, 71, pula mendalami al-Quran Braille pada usia agak lewat bukanlah halangan buatnya untuk mempelajari kitab suci itu setelah kehilangan penglihatan akibat masalah saraf mata pada 2002.

Mengakui berhadapan dengan cabaran dan agak lambat untuk menguasai kod Braille, bapa kepada enam anak itu bagaimanapun, tidak pernah berputus asa bahkan komited untuk mempelajarinya di samping menerima sokongan serta galakkan daripada sembilan lagi rakannya di pusat itu.

“Apabila sudah berusia, jari kita dah kasar untuk rasa titik-titik Braille yang halus. Jadi, saya ambil masa sikit untuk mahir … mereka yang tidak nampak sejak kecil juga, lebih cepat kuasai Braille kerana sudah terbiasa sejak awal berbanding kami yang kehilangan penglihatan ketika dewasa.

“Namun, tak nampak bukan alasan untuk kita tidak belajar … saya bersyukur apabila dapat belajar di sini setiap bulan sebab kalau nak ulang-alik pun payah dan susahkan ahli keluarga lain,” kata pesara kerajaan yang berasal dari Jerantut itu.

Bekas guru Norzaiti Siwok, 58, yang kehilangan penglihatan ketika berusia 40-an akibat masalah retina mata berkata usahanya mempelajari al-Quran Braille adalah atas tanggungjawabnya sebagai seorang beragama Islam selain ingin meraih ganjaran pahala yang besar dengan membaca kitab suci itu. 

“Bagi saya, orang muda lebih cepat kuasai Braille, tetapi macam saya sendiri untuk lancar, perlu ulang kaji lima hingga 10 jam sehari dan setakat ini, saya sudah habis baca juzuk kelapan.

“Saya gembira dapat belajar di sini dan berharap orang normal menjadikan kami sebagai inspirasi untuk membaca serta menghayati al-Quran bersungguh-sungguh,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Nurul Hidayah yang memainkan peranan sebagai petugas yang menyemak dan membimbing bacaan al-Quran golongan OKU berkenaan, berpandangan untuk mahir membaca kitab suci itu mereka perlu rajin mengulang kaji. 

“Tetapi perkara asas adalah untuk menguasai kod Braille sama ada Rumi atau Jawi terlebih dahulu dan sentiasa fokus,” kata tenaga pengajar berusia 25 tahun itu. 

Setakat ini, sebanyak 10 OKU penglihatan sedang mempelajari al-Quran Braille di pusat berkenaan secara percuma dengan mereka akan bermalam di asrama disediakan selama lapan hari sebulan di samping melaksanakan aktiviti lain seperti mengulang kaji hafazan dan solat berjemaah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan