JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Rampas Pelbagai Barangan Jenama Mewah Tiruan Bernilai Lebih RM30,000

18/03/2025 12:46 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan jenama mewah terkenal tiruan bernilai RM36,642 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Perda, di sini semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata serbuan pada 11.30 pagi itu dilakukan susulan aduan daripada Biro Pengaduan Awam (BPA) dengan operasi turut disertai dua wakil pengadu daripada Global Trade Shields (GTS).

"Semasa serbuan, premis sedang beroperasi dan menawarkan pelbagai barangan mewah seperti beg tangan, kasut, dompet serta tudung wanita selain terdapat lima jenama terkenal berdaftar di bawah GTS iaitu Louis Vuitton (LV), Yves Saint Laurent (YSL), Gucci, Balenciaga dan Chanel dipamerkan untuk jualan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati barangan terbabit menggunakan jenama berkenaan secara tidak sah (tiruan), iaitu melanggar Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyita 171 unit barangan tiruan pelbagai jenama mewah seperti kasut, beg tangan, tudung dan dompet bernilai RM36,642 serta merampas dokumen perniagaan selain turut merekodkan keterangan seorang wanita tempatan, iaitu pemilik perniagaan itu bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan