KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Toleransi sifar terhadap sikap tidak bertoleransi adalah prinsip penting yang mesti dipegang teguh di Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye.
Merujuk insiden yang berlaku di kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru baru-baru ini, Lee menggesa setiap rakyat Malaysia untuk kembali kepada nilai-nilai teras Rukun Negara bagi mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara satu sama lain.
Lee berkata tidak perlu ada toleransi terhadap sikap tidak bertoleransi di Malaysia, dan setiap orang mesti belajar untuk bertolak ansur antara satu sama lain walaupun terdapat perbezaan pendapat dan tindakan.
“Rukun Negara, yang diisytiharkan lebih 50 tahun lepas, terus menjadi panduan dalam menyatukan negara ini berdasarkan lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
“Sudah tiba masanya untuk kita semua bertekad melaksanakan prinsip-prinsip ini bagi memastikan setiap individu mendapat hak mereka serta memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Lee berkata mengamalkan toleransi sifar terhadap sikap tidak bertoleransi memerlukan usaha aktif dalam mempromosikan dialog dan persefahaman antara agama.
Beliau turut mencadangkan penganjuran program yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya untuk berbuka puasa serta berdialog secara bermakna, yang akan menyumbang kepada persefahaman bersama dan membantu mengurangkan keadaan tidak bertoleransi.
“Pendidikan adalah kuncinya. Ia membantu individu memahami kesan kata-kata terhadap tindakan dan memupuk empati serta rasa hormat terhadap perspektif yang berbeza. Kita harus bermula dengan golongan muda di sekolah.
“Sudah menjadi hakikat bahawa sistem pendidikan kita, walaupun dengan niat yang baik, masih membentuk masyarakat yang terpisah. Pemisahan ini boleh membawa kepada salah faham, seterusnya penyalahgunaan dan tingkah laku yang tidak wajar,” katanya.
Lee turut menggesa Kementerian Komunikasi mengambil tindakan pantas bagi menangani peningkatan mesej kebencian dan video yang tular di media sosial susulan insiden baru-baru ini.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa sekiranya seseorang bertindak biadab atau melanggar undang-undang, terdapat saluran undang-undang yang betul untuk menangani isu berkenaan, bukannya mengambil tindakan sendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial