JENAYAH & MAHKAMAH

Tujuh Individu Ditahan Disyaki Terlibat Sindiket Tipu Kerja

19/03/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki dan dua wanita dalam serbuan di sebuah unit kondominium dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Cyberjaya, Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemuanya yang berusia 22 hingga 36 tahun dipercayai menjadi operator pusat panggilan yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warganegara Hong Kong dengan memperoleh gaji RM4,000 sebulan.

“Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sejak setahun lepas.

“Tujuh individu terbabit dipercayai berperanan mengarahkan mangsa membuat tugasan tertentu sebelum boleh mendapatkan pulangan sebanyak 20 peratus daripada jumlah wang dibayar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tiga daripada mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan judi, dadah dan penipuan.

Ramli berkata kesemuanya didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini mengikut Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan pemilik premis supaya lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu aktiviti penyewa bagi mengelak unit mereka dijadikan markas kes penipuan.

“Alasan tidak mengetahui aktiviti dijalankan dalam premis tidak boleh diterima dan pemilik premis wajar bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti jenayah yang berlaku di unit mereka,” katanya.

Ramli berkata pihaknya sedang mengkaji cadangan bagi mewujudkan satu peruntukan undang-undang khusus bagi menangani isu terbabit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan