DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ekoran Kekurangan Pemangkin Belian

19/03/2025 07:04 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada Rabu dengan prestasi rendah secara keseluruhan terutamanya berikutan penjualan dalam sektor pembinaan dan perbankan, manakala saham penjagaan kesihatan merekodkan minat belian, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FBM KLCI susut 10.15 mata atau 0.66 peratus kepada 1,517.66 daripada 1,527.81 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 14.52 mata lebih rendah kepada 1,513.29 dan bergerak antara 1,512.21 hingga 1,523.39 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 449 berbanding 428, manakala 481 kaunter tidak berubah, 1,078 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.92 bilion unit bernilai RM2.73 bilion daripada 3.28 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Isnin.

Operasi Bursa Malaysia dan kalangan anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti umum Nuzul al-Quran.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir pada prestasi rendah ekoran kekurangan pemangkin belian.

Beliau berkata kalangan indeks serantau utama pula ditutup dengan prestasi bercampur-campur kerana sentimen pelabur dipengaruhi oleh peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Pasaran kekal berwaspada terhadap kemungkinan kenaikan tarif apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengulangi ancamannya untuk mengambil langkah timbal balas perdagangan yang dijadualkan pada awal April, katanya.

Beliau berkata di samping itu rundingan perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine dengan AS sebagai perantara juga masih berterusan.

Di peringkat domestik, indeks penanda aras itu tidak dapat mengekalkan paras 1,520 dengan paras sokongan seterusnya dijangka pada 1,500.

“Apabila pasaran mengalami penurunan, banyak saham yang secara asasnya kukuh didagangkan dengan harga diskaun sekali gus menggalakkan pembelian semasa harga murah oleh pelabur nilai. Kami menjangkakan FBM KLCI meningkat antara 1,500 hingga 1,530 untuk baki minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula berkata penurunan di Wall Street pada Selasa sebahagian besarnya disebabkan oleh sikap berhati-hati kalangan pelabur menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS, ketika peserta pasaran menunggu hasil mesyuarat itu.

“Bagaimanapun, berbanding minggu lepas, sentimen pasaran telah menunjukkan tanda-tanda stabil, dengan kebimbangan beransur-ansur reda,” katanya.

Beliau berkata saham komoditi dan utiliti adalah antara yang untung dalam dagangan hari ini.

Mohd Sedek berkata selain sentimen penghindaran risiko yang lebih luas menjelang mesyuarat FOMC, pergerakan pasaran turut dipengaruhi oleh penyusutan rupiah berbanding dolar AS ke paras terendah dalam tempoh dua minggu serta penurunan dalam ekuiti Indonesia semalam.

“Pasaran saham Indonesia lemah berikutan penurunan hasil kerajaan hampir 30 peratus bagi Januari, menimbulkan kebimbangan terhadap strategi fiskal dan pertumbuhan ekonomi yang mempunyai kesan limpahan ke atas saham Malaysia yang mempunyai pendedahan perniagaan kepada Indonesia terutama kewangan.

“Hari ini, selain mesyuarat Rizab Persekutuan AS, Bank of Japan juga mengekalkan kadar faedah penanda arasnya pada 0.50 peratus, sejajar dengan jangkaan kalangan pakar ekonomi,” katanya.

Mohd Sedek berkata walaupun FOMC dijangka mengekalkan kadar faedahnya, tumpuan utama adalah pada plot titik analisis, yang akan menjadi panduan bagi keputusan dasar masa depan.

Saham berwajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM10.36, CIMB merosot 32 sen kepada RM6.93, Public Bank dan Tenaga masing-masing kekal tidak berubah pada RM4.54 dan RM13.56 sementara IHH Healthcare naik satu sen kepada RM7.10.

Bagi saham aktif, Sapura Energy kekal mendatar pada 4.5 sen, Pertama Digital naik enam sen kepada 17 sen, Sedania menokok 3.5 sen kepada 12.5 sen, dan NationGate menambah dua sen kepada RM1.37.

Bagaimanapun, IJM Corporation susut 19 sen kepada RM1.93.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 60.42 mata kepada 11,364.06, Indeks FBMT 100 berkurangan 66.10 mata kepada 11,121.69, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 25.21 mata kepada 11,058.79.

Indeks FBM 70 menguncup 63.54 mata kepada 16,260.21 namun Indeks FBM ACE naik 20.34 mata kepada 4,711.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 183.70 mata kepada 18,612.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.29 mata kepada 154.77, Indeks Tenaga naik 5.03 mata kepada 740.39 manakala Indeks Perladangan menokok 21.12 mata kepada 7,437.37.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.48 bilion unit bernilai RM2.46 bilion daripada 1.47 bilion unit bernilai RM2.11 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.11 bilion unit bernilai RM165.83 juta daripada 1.38 bilion unit bernilai RM144.06 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 318.77 juta unit bernilai RM101.24 juta berbanding 421.86 juta unit bernilai RM145.16 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 267.55 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (191.76 juta), pembinaan (163.37 juta), teknologi (136.97 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (145.18 juta), hartanah (97.37 juta), perladangan (21.02 juta), REIT (20.34 juta), dana tertutup (22,000), tenaga (225.70 juta), penjagaan kesihatan (80.01 juta), telekomunikasi dan media (40.08 juta), pengangkutan dan logistik (20.55 juta), utiliti (73.36 juta), dan amanah perniagaan (64,100).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan