AM

RUU Akta Pendidikan Fokus Advokasi, Tindakan Undang-undang Langkah Terakhir - Fadhlina

19/03/2025 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan pendidikan hingga ke peringkat sekolah menengah akan memberi tumpuan kepada advokasi dan kesedaran bagi memastikan kehadiran pelajar ke sekolah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Sehubungan itu, beliau berkata sebarang tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang gagal ataupun cuai menghantar anak ke sekolah hanya akan digunakan sebagai langkah terakhir.

Fadhlina berkata menerusi RUU yang akan dibentangkan pada ​Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 (28 Julai-12 Ogos), kerajaan memastikan segala kemudahan pendidikan, akses dan bantuan yang diperlukan disediakan terlebih dahulu, sementara advokasi serta tanggungjawab bersama antara kerajaan, komuniti dan ibu bapa diperkukuh.

“Daripada pengalaman menguruskan dasar wajib ke sekolah rendah, kita memulakan proses yang paling penting dalam kalangan masyarakat iaitu advokasi, kesedaran, tanggungjawab dan soal kewajipan kerajaan menyediakan fasiliti pendidikan, meningkatkan akses pendidikan di samping memastikan bantuan pendidikan dapat sampai ke anak murid.

“Hanya selepas semua usaha ini dilaksanakan, barulah tindakan undang-undang digunakan sebagai langkah terakhir sekiranya masih ada kecuaian (di pihak ibu bapa) dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan,” katanya dalam sesi libat urus media RUU Pendidikan (Pindaan 2025) di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini hari ini. 

Turut hadir pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan serta editor kanan media. 

AGC sebelum ini dilapor berkata pihaknya sedang menyemak draf RUU untuk mewajibkan pendidikan daripada peringkat rendah hingga menengah dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kepelbagaian latar belakang.

Lanjutan pendidikan wajib kepada 11 tahun persekolahan itu juga bagi memastikan murid menamatkan pendidikan menengah dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional yang diiktiraf kerajaan.

Menurut Fadhlina, inisiatif seperti program Ziarah Cakna yang melibatkan sekolah dan komuniti setempat telah membantu mengenal pasti pelajar yang tercicir daripada sistem persekolahan.

“Data kehadiran murid yang direkodkan dalam sistem kami membolehkan pasukan Ziarah Cakna turun padang bagi mengenal pasti punca ketidakhadiran murid, termasuk aspek kesedaran ibu bapa yang masih perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mengenai cabaran ekonomi sebagai punca murid tidak ke sekolah, Fadhlina menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah percuma dan pelbagai skim bantuan disediakan bagi memastikan murid daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir.

Sementara itu, Azman berkata selain meminda dua peruntukan sedia ada dalam akta berkenaan iaitu Seksyen 2 (Fasal 2) dan Seksyen 29A (Fasal 3) yang memperluas skop pendidikan wajib merangkumi ‘pendiidkan rendah’ dan ‘pendidikan menengah’, ia turut merangkumi peruntukan baharu iaitu Seksyen 32A (Fasal 4) berhubung penetapan pendidikan menengah menjadi pendidikan wajib.

Beliau berkata RUU itu selari dengan ihsan Kementerian Pendidikan dalam mengatasi keciciran murid serta menyantuni golongan B40 menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


VSS VSS AHS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan