AM

Tabiat Menabung Perlu Dibina Sejak Usia Muda - MTA

20/03/2025 12:18 PM

DENGKIL, 20 Mac (Bernama) -- Tabiat menabung perlu dibina sejak usia muda dengan menyasarkan simpanan antara 10 dan 20 peratus daripada pendapatan atau elaun bulanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Takaful Association (MTA) Mohd Radzuan Mohamed.

Beliau berkata golongan muda khususnya pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) turut digalakkan untuk menyertai program literasi kewangan dan manfaatkan sumber seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memahami kaedah mengurus kewangan dengan baik.

“Anda juga perlu mencipta belanjawan bulanan dengan menyenaraikan perbelanjaan penting dan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan, serta menggunakan kad kredit dengan bijak, di samping mengelak daripada melakukan pinjaman tidak penting,” katanya pada majlis Iftar Bersama Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Beliau turut menasihatkan pelajar IPT agar memiliki perlindungan takaful yang berperanan sebagai perlindungan awal bagi membantu mengurangkan beban kewangan di masa hadapan.

Turut hadir Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengurusan Shariah, Zurich Takaful Bhd Muhammad Abdul Harith Jurimi dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM Mahadi Kamaludin.

Merujuk kepada Majlis Iftar hari ini Mohd Radzuan berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diadakan bagi memperkukuhkan semangat ukhuwah dan pemahaman budaya antara MTA dan pelajar UiTM.

“Ramadan sebagai bulan kesyukuran, empati dan keprihatinan. CSR yang diadakan ini dapat menyantuni dan membantu masyarakat kampus,” katanya.

Beliau berkata antara program CSR lain yang dilaksanakan adalah tazkirah rahmat Ramadan, iftar dan sahur bersama gelandangan serta iftar dan sahur bersama masyarakat Orang Asli.

Beliau berharap pelaksanaan pelbagai program CSR itu dapat diteruskan serta diperluaskan di masa akan datang agar MTA dan rakan industri dapat memperkukuhkan ekosistem takaful di negara ini.

“Semoga program ini membawa keberkatan dan kesejahteraan serta menggalakkan hubungan erat dan perpaduan antara komuniti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan