AM

Perbincangan Mengenai Perpindahan Kuil Berjalan Secara Harmoni - Jakel

20/03/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) --  Proses perbincangan mengenai perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pegawai Kewangan Jakel Group Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad berkata isu perobohan kuil berkenaan tidak timbul, dan Jakel Group sentiasa menghormati sensitiviti dan prinsip pelbagai kaum serta agama di negara ini.

“Timbul pihak-pihak tertentu yang cuba membawa naratif yang negatif, jadi kita terpanggil untuk buat penjelasan supaya semua pihak dapat memahami, sebenarnya proses perbincangan masih berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, DBKL dan juga pihak pengurusan kuil.

“Secara dasarnya pihak pengurusan bersetuju atas isu ini, cuma sekarang macam saya beritahu tadi proses pemindahan untuk tempat yang paling sesuai untuk kuil, itu yang menjadi perkara tertangguh sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa lokasi untuk pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah dicadangkan bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan.

“Saya rasa rakyat di Malaysia sangat menghormati prinsip berbilang kaum dan agama, walaupun tanah itu milik syarikat tapi kita memahami sensitiviti ada kuil atasnya, ada kaum India melakukan amal ibadat, dan atas dasar itulah perkara ini berlanjutan sekian lama, cuma macam yang saya katakan, penyelesaian perlu dibuat,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Jakel Group Aiman Dazuki berkata syarikat itu hanya akan memulakan pembinaan di tapak tersebut setelah selesai isu pemindahan kuil itu ke lokasi yang dipersetujui.

“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan, cuma yang saya nak tegaskan tidak ada terma perobohan. Sebab kita percaya untuk menyelesaikan perkara ini perlu suasana menang-menang - maknanya bagi menjaga kemaslahatan dan kepentingan, pihak syarikat dan juga pihak rumah ibadat,” katanya.

Aiman ​​berkata syarikat itu telah menandatangani perjanjian pembelian tanah di Lot 328 Jalan Bunus, di Jalan Masjid India pada 2012 bagi merealisasikan hasrat pengasas syarikat berkenaan Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk mewakafkan tanah itu bagi pembinaan masjid.

Terdahulu Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif memberi jaminan DBKL akan memastikan urusan perpindahan Kuil Dewi Sri ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan