DUNIA

Pentadbiran Trump Panik Selepas Dokumen Pembunuhan JFK Dedah Data Peribadi

22/03/2025 12:20 AM

ANKARA, 21 Mac (Bernama-Anadolu) -- Pentadbiran Trump berusaha menangani kesan buruk selepas mendedahkan ribuan halaman dokumen berkaitan pembunuhan John F. Kennedy pada 1963, yang secara tidak sengaja mendedahkan data peribadi sensitif, lapor Anadolu Ajansi memetik The New York Times pada Khamis.

Daripada 64,000 halaman yang didedahkan oleh Arkib Negara, atas arahan tidak dirancang Trump, ratusan daripadanya mengandungi nombor Keselamatan Sosial dan maklumat peribadi lain tanpa disunting, termasuk milik kakitangan kongres, penyelidik perisikan serta sekurang-kurangnya seorang bekas duta Amerika Syarikat.

Menurut laporan itu, sebahagian individu terjejas masih hidup. Sebelum ini, dokumen yang sama didedahkan dengan maklumat tersebut disunting dan disembunyikan, namun arahan spontan Trump pada Isnin lalu meminta dokumen tanpa suntingan, tanpa mempertimbangkan akibatnya.

Peguam keselamatan negara Mark S. Zaid memberitahu, pendedahan ini mungkin melanggar undang-undang privasi persekutuan, walaupun tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh individu terjejas bergantung pada butiran teknikal berkaitan dasar penyimpanan data kerajaan.

"Nombor Keselamatan Sosial adalah antara data paling sensitif yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan AS untuk dilindungi," kata Zaid. "Ini adalah pelanggaran yang serius."

Rumah Putih mengakui yang pegawai hanya mula meneliti fail bagi mengenal pasti maklumat peribadi yang terdedah selepas ia diterbitkan, bukannya sebelum itu.

Pada Rabu, pentadbiran mengarahkan semakan semula rekod bagi mengesan nombor Keselamatan Sosial yang terdedah dan mengarahkan Pentadbiran Keselamatan Sosial untuk mengeluarkan nombor baharu kepada individu terjejas.

Pihak yang terkesan juga akan diberikan pemantauan kredit percuma, menurut seorang pegawai kanan. Kemungkinan besar, semua individu yang terjejas adalah warga emas, kumpulan yang sangat terdedah kepada kecurian identiti.

Laporan Times turut menyatakan, walaupun tanpa suntingan, fail yang baru didedahkan itu tidak menunjukkan sebarang maklumat baharu yang signifikan mengenai pembunuhan JFK, walaupun pentadbiran Trump menguar-uarkan pendedahan itu secara besar-besaran.

Pakar sejarah yang meneliti dokumen itu tidak menemui bukti kehadiran penembak kedua atau sebarang pendedahan yang menyokong teori konspirasi.

Sebaliknya, sebahagian besar bahan itu berkaitan operasi perisikan AS semasa Perang Dingin, termasuk pemantauan CIA terhadap sekutu asing, menurut laporan itu lagi.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan